Zizi Kirana tertekan dikecam warganet

Tidak lagi mengenakan tudung selepas berakhir bulan Ramadan, penyanyi Zizi Kirana berkata laman sosialnya dihujani pelbagai komen daripada netizen yang mahu dia terus kekal berhijab.

Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil mengakui agak tertekan apabila ada warganet meninggalkan komen berbentuk kecaman dengan menggunakan bahasa kasar.

“Saya terima semua teguran dan nasihat itu dengan hati terbuka tetapi dalam masa sama saya akui rasa tertekan membaca komen mereka yang marah-marah hanya kerana saya dah tak bertudung macam dulu.

“Saya rasa lebih baik kalau kita doakan yang baik-baik sesama kita daripada menyakitkan hati sendiri dengan mengecam orang lain,” katanya kepada mStar.

Penyanyi lagu Eh ini tampil dengan imej berhijab bagi menghormati bulan Ramadan.

Zizi Kirana teruk dikecam warganet gara-gara membuka tudung selepas berakhir bulan Ramadan. – Agensi

Ini merupakan tahun kedua Zizi mengenakan tudung dan mengakui melakukan perubahan sementara itu atas kerelaaan diri sendiri.

Sementara itu, Zizi berkata meskipun belum bersedia untuk bertudung, dia sentiasa berusaha mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik.

“Saya sama seperti orang lain sentiasa berusaha untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik.

“Terima kasih kepada warganet yang menegur, saya tetap menyayangi mereka kerana sentiasa mengingatkan kita hal-hal yang baik walaupun ada kalanya komen itu agak menyakitkan hati.

“Dalam masa sama, doakan juga saya cepat-cepat bertemu lelaki yang dapat membimbing… sejujurnya kalau tertulis jodoh dengan ustaz pun okay! Tak salahkan kita berdoa benda baik?,” ujarnya. – Agensi