Zizie Ezette ambil seorang lagi anak angkat

Selepas membesarkan dua orang anak angkat beberapa tahun lalu, pelakon Datin Seri Zizie Ezette mengumumkan bakal mengambil seorang lagi anak angkat pada tahun depan.

Menerusi laman sosial Instagram, Zizie Ezette atau nama sebenarnya Zizie Izette Abdul Samad, 42, berkata, dia dalam proses menguruskan pengambilan tersebut di Pejabat Kebajikan Masyarakat Gombak.

“Hari untuk uruskan dokumen pengambilan anak angkat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Gombak. Baru la ada kelapangan. Sebelum ni mommy seorang ni sibuk mengandung dan beranak sahaja tiga tahun berturut-turut.

“Tahun ni baru dapat relaks sikit. Insya-Allah tahun depan ada lagi seorang.”

Dalam pada itu, Zizie berkata, dia melalui prosedur pengambilan anak angkat yang sama seperti dilalui orang awam yang lain.

“Kepada yang bertanya, saya guna prosedur yang sama macam orang lain dan betul mengikut undang-undang.

“Kena beratur, ambil nombor, tunggu giliran, isi borang. Semuanya. Tiada keistimewaan atau guna kabel,” tulisnya.

Zizie dan suaminya, Datuk Seri Bung Moktar mempunyai dua orang anak angkat, Nayla Nurjenna, 4, dan Aaric Zayn Izette, 2.

Pasangan itu turut dikurniakan cahaya mata lelaki kembar iaitu Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette, 3, dan seorang anak perempuan Aalisa Belle Izette. – Agensi

Zizie Ezzette mengatakan dia mengikut prosedur pengambilan anak angkat yang sama seperti dilalui orang awam yang lain dan mengumumkan bakal mengambil seorang lagi anak angkat pada tahun depan. – Agensi