Zolkples harap pihak tertentu henti beri alasan soal gaji

KUALA LUMPUR, 10 APRIL – Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong menasihatkan pihak berkepentingan dalam industri bola sepak tanah air terutama pemain tempatan supaya akur dengan saranan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau yang juga pemerhati sukan tanah air, berharap pihak tertentu berhenti daripada mencari pelbagai alasan dalam mencapai keputusan bersama terutama berhubung soal kontrak dan gaji pemain sepanjang krisis penularan wabak COVID-19.

Menurut beliau, garis panduan dikeluarkan FIFA tidak seharusnya dipertikai atau kesan lebih buruk akan melanda industri bola sepak negara sehingga mungkin menyaksikan pasukan atau kelab terpaksa ‘tutup kedai’ ekoran dihimpit masalah kewangan. “Semua pihak terutama pemain sudah boleh muhasabah diri dan perlu beri ruang untuk bekerjasama sebaik FIFA keluarkan garis panduan sebegitu dan mereka kena sedar realiti sebenar yang sedang terjadi.

“Kita berada dalam situasi untuk terus kekal bertahan memandangkan impak terhadap ekonomi kesan penularan wabak COVID-19 turut menjejaskan kewangan pelbagai pihak terutama penaja.

“Jadi pemain kena fikir adakah mereka mahu melihat pasukan yang diwakili tutup kedai gara-gara masalah ini yang disebabkan keengganan mereka (pemain) berbincang soal gaji,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Selasa lepas, FIFA mengeluarkan pekeliling bertajuk Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak FIFA COVID-19 yang mengandungi empat perkara utama, antaranya mengenai Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan dan Tempoh Pendaftaran melibatkan jendela perpindahan pemain. Di bawah Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan, FIFA mengeluarkan prinsip bimbingan yang menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan dalam mencari kata sepakat sepanjang krisis ini, termasuk cadangan penstrukturan penggajian sementara.

Justeru, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan semalam berharap perjanjian bersama antara pasukan dan pemain serta pegawai perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya 22 April depan, namun ia boleh dirujuk kepada FAM sekiranya perjanjian bersama gagal dicapai sehingga tarikh tersebut.

Dalam pada itu, Zolkples meminta semua pihak memainkan peranan masing-masing dan lebih terbuka dengan perkembangan semasa arena sukan dunia yang turut menyaksikan temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik Tokyo 2020 terpaksa ditangguhkan.

“Maka, warga sukan tempatan juga kena lakukan pengorbanan kerana semua pihak merasai keperitan yang sama kerana apa yang jadi keutamaan seluruh masyarakat dunia sekarang ialah kita bebas daripada COVID-19,” katanya. – Bernama