Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zon Jinfei bantu pertingkatkan tahap ekonomi Mauritius

    PORT LOUIS – Sebuah ‘Taman Eden’ yang megah berdiri ditengah-tengah kawasan Zon Ekonomi, Perdagangan dan Kerjasama (Zon Jinfei) yang dibangunkan oleh China di barat Mauritius jelas melambangkan transisi Kepulauan Lautan Hindi menuju ke arah kemodenan.

    Selaras dengan namanya ‘Eden’, kompleks yang kelihatan cukup megah itu menggabungkan di antara ciri kehebatan seni bina Cina dengan ciri keindahan estetik Afrika sekaligus dianggap sebagai mahkota permata yang sangat menakjubkan.

    Reka bentuknya yang lebih menumpukan elemen simetri dan segi tiga yang menjulang ke langit sekaligus memberikan ekspresi konsep moden, megah dan sangat menakjubkan terutama apabila merujuk kepada fungsi bangunan itu sendiri sebagai galeri seni, pameran, lokasi perkahwinan, KTV, pawagam, tempat hiburan, persembahan air dan lampu di bawah satu bumbung.

    Eden Garden Culture & Entertainment Square yang akan dilancarkan pada bulan Oktober tahun ini di Zon Jinfei setentunya akan berperanan selaku bandar pintar pertama yang akan dibangunkan di Mauritius melalui kerjasama dengan China.

    Zon ekonomi dan perdagangan kelas dunia yang menempati kawasan seluas 211 hektar tanah yang terletak kira-kira 3.5 kilometer di barat Port Louis, ibu negara kepada Mauritius yang turut menempatkan beberapa kawasan ikonik di negara itu.

    Mauritius giat melaksanakan pelbagai kerjasama dengan China bagi mewujudkan bandar pintar menjelang tahun 2025. – Xinhua

    Mauritius giat berusaha untuk merealisasikan projek Bandar Pintar menghala ke arah pantai yang cukup menenangkan menjelang tahun 2025 dan ia juga dipercayai berlaku berdasarkan kepada bantuan modal, teknologi dan kemahiran dari China.

    Pada tahun 2014, Kerajaan Mauritius telah melancarkan Program Bandar Pintar sebagai usaha untuk menarik pelaburan dalam menarik industry berteknologi tinggi, perkhidmatan kewangan, pelancongan dan ekonomi.

    Kumpulan Pelaburan Shanxi China telah dijemput untuk melaksanakan projek pembangunan Zon Jinfei di kawasan yang suatu ketika dahulunya adalah merupakan tanah lapang.

    Pengurus Besar Kumpulan Pelaburan Shanxi, Hang Lianjun menjelaskan bahawa untuk melaksanakan projek pembangunan di kawasan yang belum diterokai setentunya merupakan proses yang cukup mencabar namun berkat kegigihan dan semangat yang jitu masalah tersebut ternyata berjaya diatasi.

    Kumpulan Pelaburan Shanxi sentiasa mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Mauritius khususnya dalam pelaksanaan projek Zon Jinfei bagi memastikan elemen alam sekitar dan budaya Afro dapat diseimbangkan dengan arus kemodenan.

    Hang turut menjelaskan bahawa pembangunan infrastruktur fizikal dan kemudahan lain turut disertakan dalam terma kontrak syarikat sebelum ia diserahkan semula ke Kerajaan Mauritius.

    “Melalui rundingan yang telah dipersetujui, kami telah menyerahkan projek jalan raya, pagar, rangkaian paip dan lain-lain kemudahana awam dan tambahan kepada kerajaan Mauritius di mana ia dipercayai dapat mengurangkan kos penyelenggaraan di masa hadapan,” jelas Hang.

    Kawasan pembangunan di Mauritius yang didukung bersama oleh China dikenali sebagai Zon Jinfei. – Xinhua
    Rekaan Eden Garden Culture & Entertainment Square menumpukan elemen simetri dan segi tiga yang menjulang ke langit sekali gus memberikan ekspresi konsep moden, megah dan sangat menakjubkan. – Xinhua

    Pelan Induk bagi Zon Jinfei yang kali terakhir dikemaskinikan pada tahun 2016 dan dipersetujui oleh Kerajaan Mauritius dan China bermatlamat untuk mempromosikan pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan mengukuhkan sektor kewangan dengan memanfaatkan teknologi pintar dengan sebaiknya.

    Selain mercu tanda tersebut, antara projek lain yang turut berada dalam perancangan di Zon Jinfei adalah termasuk perkhidmatan kewangan Sino-Amerika yang bertindak selaku pusat sehenti bagi firma-firma di China di luar negara yang berhasrat untuk meneroka peluang perniagaan di Mauritius.

    Penubuhan bandar pintar di Mauritius ini juga dianggap sebagai mutiara bersinar di Lautan Hindi sekali gus meningkatkan kedudukannya sebagai satu kawasan strategik.

    Pengarah Urusan Cinda Jinfei B& R Fund menjelaskan bahawa kebanyakan syarikat China tertatrik untuk melakukan pelaburan di Mauritius berikutan daripada ekonominya yang sentiasa berdaya saing, dasar mesra dan lokasinya yang cukup strategik.

    Zon Jinfei ini juga banyak menerapkan konsep model China untuk menjadi pusat kewangan, teknologi dan pelancongan serta turut menerima pengharagaan tertinggi dari pemimpin Mauritius.

    Perdana Menteri, Anerood Jugnauth menerangkan pembangunan ini menandakan era baru bagi kebangkitan ekonomi di negara itu ketika mengikuti lawatan ke Zon Jinfei pada awal tahun ini. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda