Zon perindustrian Syria lemah tanpa elektrik

ALEPPO – Walaupun kemusnahan dan kekurangan bekalan tenaga elektrik, perindustrian di bandar Aleppo di utara Syria semakin giat melakukan pembangunan dan pemulihan walaupun berdepan keadaan tidak stabil di bandar tersebut.

Walaupun sudah lama dikenali sebagai zon perindustrian Syria dan dengan usaha keras para pekerja, Aleppo mempunyai banyak zon perindustrian, yang kebanyakannya mengalami kerosakan yang teruk berikutan konflik peperangan.

Berikutan dengan penaklukan semula oleh tentera Syria terhadap Aleppo pada bulan Disember 2016, pengusaha yang sebelum ini telah meninggalkan kilang dan perniagaan mereka berikutan konflik perang, mula kembali untuk menyambung pekerjaan atau perniagaan mereka.

Tahap kemusnahan dan kekurangan perkhidmatan merupakan halangan utama untuk melancarkan semula barisan pengeluaran produk di Aleppo, tetapi penduduk di Syria seperti menunjukkan keazaman yang mengagumkan bagi meletakkan bandar ranap itu ke landasan yang betul.

Dalam satu lawatan baru-baru ini ke zon perindustrian Al-Qatarji, sebuah kawasan perindustrian di mana sebelum ini menjadi tapak taklukan pemberontak di timur Aleppo, asap-asap hitam mula kelihatan dari kilang-kilang dan bunyi-bunyi bising boleh didengar dari mesin tekstil dan tukang-tukang besi.

Salah satu daripada industri tekstil yang memulakan operasi di Aleppo yang musnah akibat peperangan dan kini hidup semula. – Xinhua
Aduan utama yang sering dikemukakan adalah kekurangan bekalan elektrik, sehingga mendorong rakyat menggunakan penjana elektrik dan membayar sejumlah wang yang besar untuk bahan api diesel. – Xinhua

Muhammad Mashqini, peniaga muda yang meninggalkan kilang tekstilnya ketika peperangan meletus di Aleppo, kembali memulakan perniagaannya baru-baru ini. Dia berkata walaupun kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan di kilangnya, ia tidak seperti apa yang digunakan sebelum perang kerana ada kerosakan yang tidak dapat diperbaiki.

“Sebelum perang, ia merupakan sebuah kilang yang sangat baik dan sekarang, kami berdepan dengan banyak kesulitan kerana tempat ini tidak sesuai untuk beroperasi malah kami berdepan dengan beberapa kerosakan yang tidak dapat kami perbaiki disebabkan perbelanjaan yang tinggi dan pengeluaran yang perlahan,” kata Mashqini kepada media.

Aduan utama yang sering dikemukakan adalah kekurangan bekalan elektrik, sehingga mendorong rakyat menggunakan penjana elektrik dan membayar sejumlah wang yang besar untuk bahan api diesel.

Saleh Al-Mzayek, pemilik kilang tekstil, memberitahu Xinhua bahawa kekurangan tenaga elektrik memaksanya untuk menjalankan operasi kilang dengan menggunakan bahan api sendiri. “Saya mengoperasi mesin sendiri kerana mahu memulakan kerja. Elektrik itu sepatutnya disediakan pada tahun 2017 tetapi sehingga ke tahun 2019, masih belum ada bekalan elektrik yang baik,” keluhnya.

Al-Mzayek berharap agar pihak kerajaan akan membantu menangani masalah elektrik kerana kebanyakan kilang di Aleppo berpotensi untuk membawa masuk aliran pendapatan yang besar melalui eksport. “Jika kami menghasilkan pengeluaran lebih banyak, kami akan membawa masuk aliran wang, maka kami berharap agar pihak kerajaan membantu dalam menangani masalah elektrik,” katanya lagi.

Adik beradiknya, Abdul-Salam Al-Mzayek, ketua jawatankuasa zon perindustrian Al-Qatarji, memberitahu Xinhua kira-kira 70 peratus daripada pengusaha industri telah kembali ke zon tersebut. Namun elektrik merupakan faktor utama yang mempengaruhi kesan pengeluaran dan menjadi penghalang namun jika kita mendapatkan elektrik, pengeluaran kita akan kembali kepada 100 peratus,” tegasnya. – Xinhua