Zoo Mexico selamatkan haiwan terancam

CULIACAN, MEXICO, 3 JUN – Kira, seekor harimau berusia dua setengah tahun, tiba di sebuah zoo di timur laut Mexico pada April selepas tuannya tidak mampu memberinya makan disebabkan krisis ekonomi berpunca daripada koronavirus.

Harimau betina dengan berat 130 kilogram itu diberi sedatif dan dibawa dalam kurungan menggunakan trak ke rumah baharunya di zoo Culiacan di negeri Sinaloa.

Tuannya telah memberikan respons terhadap satu kempen oleh Persatuan Zoo dan Akuarium Mexico (AZCARM) untuk mengelak meninggalkan haiwan liar semasa lockdown.

“Pengabaian berlaku apabila orang tidak dapat menjaga haiwan mereka, dan semasa pandemik ini, berdepan dengan kekurangan sumber ekonomi dan ruang menempatkannya dan memilih untuk membuangnya,” beritahu presiden AZCARM Ernesto Zazueta kepada AFP.

Selain harimau, zoo Culiacan juga menerima seekor ular sawa, seekor anak dugong dan 12 burung kakaktua, serta 49 ekor rusa yang diselamatkan dari sebuah kilang gula di Tabasco.

Rusa tiba di zoo dalam keadaan ke-buluran. Sekarang mereka meragut rumput di sebuah kurungan besar bersama burung unta, zirafah dan antelop.

Zoo Mexico telah menyelamat haiwan liar yang diseludup selama beberapa tahun, dan yang lainnya dari sarkas sejak pengharaman ke atas pertunjukan menggunakan haiwan pada 2015.

Dalam kawasan simpanan ini, pakar berusaha memulihkan haiwan berkenaan dan mengembalikan mereka ke habitat semula jadi mereka. – AFP

Seorang pekerja memberi makan burung kakaktua (Ara militaris) di zoo di Culiacan, negeri Sinaloa, Mexico pada 26 Mei 2020. Zoo Mexico telah menyelamatkan ratusan haiwan liar semasa pandemik COVID-19. – AFP