Zoo Miami pamer anak harimau akar comel

MIAMI, 8 APRIL – Dalam menghadapi masa yang sukar ini, Zoo Miami telah berkongsi gambar dua ekor anak harimau akar bertujuan menceriakan situasi yang berlaku di seluruh dunia.

Anak harimau akar jantan dan betina itu telah diasingkan dalam sebuah kandang bersama ibunya, Serai, sejak dilahirkan pada 11 Februari supaya ia boleh menjalinkan ikatan sementara mengelak stres dari luar, menurut satu siaran media dari zoo Florida Selatan.

Penjaga zoo membawa anak harimau semalam untuk memeriksa perkembangan haiwan terbabit dan memberikan vaksin.

Kedua-dua anak harimau itu nampak sihat, dan ibunya memberikan perhatian sepenuhnya sambil menjaganya, kata pegawai.

“Di tengah semua berita yang menyuramkan, saya berharap ia boleh membawa senyuman kepada anda!” tulis pengarah komunikasi zoo, Ron Magill, ketika beliau berkongsi gambar tersebut. “Diharapkan, sebaik sahaja pandemik ini berakhir, orang awam boleh kembali ke zoo untuk melihat tambahan baharu ini!”

Harimau akar amat terancam dalam habitat hutan semula jadi di China Selatan, Taiwan dan Malaysia. Haiwan besar biasanya mempunyai berat 30 hingga 50 paun.

Ia mempunyai ekor panjang, kaki pendek dan tapak tangan besar, yang membantu haiwan itu tinggal di pokok. Jumlahnya telah merosot disebabkan pemburuan. Bulunya yang menarik mempunyai nilai berharga dalam kebanyakan budaya. – AP

Anak harimau akar yang baru lahir dipegang oleh kakitangan Zoo Miami untuk pemeriksaan di Miami. – AP