Monday, October 3, 2022
24.6 C
Brunei

Zoo mini Kuala Krai kini berwajah baharu

-

KUALA KRAI – Pembangunan berkonsepkan ‘Manusia dan Alam’ yang saling bergantungan antara satu sama lain, Zoo Mini Kuala Krai mula menjadi tumpuan pengunjung apabila dibuka secara rasmi setelah 17 tahun tidak beroperasi.

Antara yang bakal menarik pengunjung ke zoo ini ialah lebih 50 spesies haiwan seperti unta, burung enggang, gajah dan iguana selain Aquaria Mini yang menempatkan pelbagai spesies ikan.

Pengunjung Ismail Din, 42, dari Kampung Sungai Pas, di sini, berkata pembaharuan pada zoo mini ini adalah antara destinasi pelancongan yang dinantikannya selama ini, iaitu selepas 17 tahun ditutup kepada pengunjung.

“Sudah lama kami sebagai rakyat Kelantan tidak dapat bersiar-siar bersama keluarga untuk melihat haiwan di Zoo, pastinya pembukaan semula Zoo mini Kuala Krai dapat mengimbau kembali memori dan membawa anak-anak untuk mengenali haiwan dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui Bernama di Mini Zoo Kuala Krai, di sini baru-baru ini.

Bagi Sharil Abdul Rahman, 35, dari Gunong, Bachok pula berkata beliau sanggup bertolak dari rumahnya seawal 8 pagi bersama keluarga untuk melihat haiwan yang terdapat di zoo berkenaan.

Mini Zoo Kuala Krai bakal menjadi tumpuan para pengunjung apabila dibuka secara rasmi setelah 17 tahun tidak beroperasi. – Bernama
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (kiri) menyerahkan burung kakak tua kepada Ketua Jajahan Kuala Krai Tengku Ab Rahman Tuan Yunus pada majlis Pembukaan Mini Zoo Kuala Krai. – Bernama

“Saya harap zoo mini ini akan terus dibuka kepada pengunjung sebab ia bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat malah dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, majlis Perasmian Pembukaan Zoo Mini Kuala Krai disempurnakan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abdul Rahman dan Ketua Jajahan Kuala Krai Tengku Ab Rahman Tuan Yunus.

Ahmad berkata pembukaan semula Zoo Mini Kuala Krai merupakan hasil cetusan idea kerajaan negeri untuk mewujudkan lokasi pelancongan yang sesuai dilawati khususnya di jajahan ini.

“Zoo mini ini mula dibina oleh Majlis Daerah Kuala Krai pada 2020 dengan peruntukan dana sebanyak RM2.5 juta oleh kerajaan negeri.

“Antara objektif penubuhan Zoo Mini Kuala Krai adalah mewujudkan suatu lokasi strategik dan pelancongan baharu bagi menggalakkan pelancongan domestik, menjadi pusat konservasi hidupan liar, mewujudkan peluang pendidikan dan menggalakkan perkembangan ekonomi setempat,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Ab Rahman berkata Zoo Mini Kuala Krai mula beroperasi pada 24 Dis 1964, namun pada 2005, Zoo Kuala Krai ditukarkan status kepada Taman Burung Kuala Krai sebelum ditamatkan operasinya pada 2011. 

“Antara cabaran pembinaan Zoo Mini berkenaan termasuklah cabaran dana yang amat terhad yang memerlukan dana sebanyak RM1 juta di peringkat permulaan zoo dibangunkan. Selain itu, pihak zoo juga menghadapi cabaran di tapak pembinaan seperti tanah runtuh, pokok tumbang dan lain-lain sehingga menyebabkan kerosakan yang besar yang memerlukan dana tambahan untuk tujuan pembaikan,” katanya.

Tengku Ab Rahman berkata sempena pembukaan ini, pengunjung boleh menikmati harga tiket promosi selama sebulan bermula hari ini iaitu RM8 bagi dewasa manakala RM4 untuk kanak-kanak.

Zoo berkenaan beroperasi setiap hari bermula pukul 9:30 pagi hingga 6 petang dengan harga tiket bagi dewasa adalah RM10 seorang, RM5 bagi warga emas dan kanak-kanak, manakala percuma kepada Orang Kurang Upaya. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik keempat

SEOUL, 2 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik kelmarin, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu. Ujian itu...
- Advertisment -