Zoo, pusat haiwan perlukan RM8 juta

KUALA LUMPUR, 13 APRIL – Sebanyak RM8 juta diperlukan oleh 14 zoo dan 20 pusat Pameran Tetap Hidupan Liar (ZPT) di seluruh negara bagi meneruskan kelangsungan pengoperasian premis masing-masing sehingga Disember ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kos itu bagi menampung bekalan makanan, perubatan dan pengurusan haiwan berikutan penutupan sementara premis zoo seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pendapatan utama zoo dan pusat pameran bergantung kepada tiket pelawat dalam dan luar negara dan sepanjang tempoh PKP, mereka tak dapat pengunjung macam biasa menyebabkan kekurangan pendapatan.

“Susulan itu kementerian sedang membuat penilaian secara teliti (mengenai kos) dan mendapatkan maklum balas lengkap dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Persatuan Taman Zoologi dan Aquaria Malaysia (MAZPA) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan dana kepada Zoo Negara, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata 34 permit pengendalian ZPT dikeluarkan Perhilitan bagi menguatkuasakan peraturan kepada pemilik atau pengendali ZPT supaya tidak mengabaikan aspek kebajikan, pemakanan, penjagaan kesihatan dan pembersihan kurungan hidupan liar.– Bernama

Kelihatan anak panda gergasi yang diberi nama ‘Yi Yi’ ketika menikmati makanannya di Zoo Negara. Zoo Negara memerlukan lebih banyak sumbangan bahan mentah dalam bentuk daging, sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menampung keperluan bekalan makanan sepanjang tempoh PKP. – Bernama