Zoo Taiping berjaya biak Burung Botak Upeh

TAIPING – Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) menyaksikan penetasan anak-anak Burung Botak Upeh (Milky Stork) di dalam dan di luar kurungan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Khairul Amir Mohamad Zubir berkata sebanyak 36 ekor Burung Botak Upeh dalam kurungan telah membuat 12 sarang di tempat pameran Hutan Tebing Sungai dan empat daripadanya telah menunjukkan anak burung yang sudah menetas.

“Bagaimanapun, bilangan sebenar anak burung masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataannya.

Pada masa yang sama, sebanyak 20 ekor Burung Botak Upeh yang dilepaskan bebas di luar kurungan di kawasan zoo pula telah membuat tujuh sarang di atas pokok tinggi dalam kawasan ZTNS dan dua sarang itu telah menunjukkan anak yang telah menetas.

“Sarang Burung Botak Upeh dalam keadaan baik dan sentiasa dipantau dengan rapi oleh kakitangan zoo dari semasa ke semasa,” katanya.

Khairul Amir berkata program konservasi Burung Botak Upeh di ZTNS telah bermula sejak tahun 2005 dengan dua ekor stok asal Burung Botak Upeh yang diterima dari Jurong Bird Park, Singapura dan 10 ekor lagi dari Zoo Negara, di Ulu Kelang, Selangor pada tahun 2009. Sementara itu, Pengarah ZTNS Dr Kevin Lazarus berkata pihaknya telah melakukan dua program pelepasan burung itu, iaitu 10 ekor pada tahun 2016 dan empat ekor lagi pada tahun 2017.

Beliau berkata daripada 14 ekor burung itu sebanyak enam ekor anak burung telah berjaya dibiak pada tahun 2018 dan 2019.

Menurut beliau, program berkenaan merupakan satu usaha projek konservasi dan kajian spesies yang dianggap terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Kevin berkata di negeri Perak, Burung Botak Upeh atau nama saintifiknya ‘Mycteria cinerea’ banyak didapati di Kuala Gula namun spesies itu tidak lagi kelihatan di kawasan berkenaan susulan kawasan hutan paya bakau yang semakin menyusut. – Bernama

Seekor Burung Botak Upeh Putih yang membuat sarang untuk bertelur di atas pokok boleh dilihat di Zoo Taiping & Night Safari. – Bernama