Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Zul ariffin mohon maaf

    Pelakon Zul Ariffin menyesal dengan tindakan memuat naik video teaser drama bersiri Perempuan Itu di laman Instagram (IG), baru-baru ini yang dianggap keterlaluan hingga dikecam warganet.

    Mengaku apa yang dilakukan suatu kesilapan, Zul atau nama sebenar, Zulkifli Ariffin, 35, memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan perbuatannya itu.

    “Dengan hati terbuka, saya ambil maklum atas semua respons daripada banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini.

    “Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan daripada tindakan memuat naik video berkenaan,” kata aktor itu menerusi entri di IG Story.

    Tambah pelakon Sangkar ini, kontroversi itu membuatkan dia lebih berhati-hati untuk memuat naik sebarang perkongsian dalam media sosial pada masa akan datang.

    Zul Ariffin menyesal dengan tindakan memuat naik video teaser drama bersiri Perempuan Itu di Instagram (IG), baru-baru ini yang dianggap keterlaluan hingga dikecam warganet. – Agensi

    “Selepas ini, saya akan lebih teliti dan berhati-hati untuk memuat naik sebarang bahan yang diberi kepada saya untuk dipromosikan dalam media sosial,” katanya.

    Ini adalah kenyataan pertama dikeluarkan Zul selepas mengambil tindakan mengunci mulut berikutan insiden yang menarik perhatian ramai itu berlaku.

    Kontroversi tercetus apabila pelakon utama drama Perempuan Itu, Zul Ariffin memuat naik video yang memaparkan dia melakonkan babak agak sensual berganding dengan heroin drama itu, Siti Hariesa IG.

    Dalam babak itu, Zul dilihat membuka baju sebelum mendukung pelakon baharu itu.

    Turut dipaparkan adalah adegan menyuap krim putar antara kedua-dua pelakon itu. Aktor itu kemudian bertindak memadam entri berkenaan selepas dikecam warganet.

    Selain Zul dan Siti Hariesa, drama 30 episod ini dibintangi Mimi Lana, Eman Manan, Amar Asyraf, Amir Ahnaf, Erysha Emirates dan Iqbal Zulkefli.

    Drama Perempuan Itu mendapat sentuhan dua sutradara iaitu Isma Yusof dan Ain Sharif. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...