Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Zulhelmi Junaini diumumkan sebagai juara sekali gus menerima hadiah persembahan terbaik dalam Pertandingan Akhir Bintang Harmoni 2022 yang berlangsung di Jerudong Park Amphitheatre, kelmarin.
Beliau telah membawa pulang hadiah wang tunai $2,000 berserta trofi dan sijil manakala Helmi Mohammad dan Dorra Johara masing-masing menyandang gelaran naib juara dan tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai $1,500 dan $1,000 berserta trofi dan sijil.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan peserta pertandingan anjuran Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) itu ialah Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah RTB, Haji Azman bin Haji Abdul Rahim, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan orang ramai.