KUALA LUMPUR – Biarpun ada kalanya bersenam sendirian, Zulin Aziz mengaku sentiasa mendengar ‘suara’ teman akrabnya, Ahya memberi semangat untuk mencapai berat badan idaman.
Penyampai radio Suria FM itu memberitahu, Ahya banyak memberi tip dalam misinya menjadi kurus cara sihat.
“Di kaca televisyen (TV), saya masih nampak besar. Jadi kenalah berusaha keras untuk mengurangkan berat badan. Saya amalkan rejim diet dan senaman jika tak sempat ke gimnasium. Namun, saya masih belum mencapai berat badan diingini. Suara Ahya ibarat terdengar dari ‘jauh’ memantau apa yang saya makan dan senaman yang dibuat. Saya memang jenis kena paksa baru bersemangat,” katanya.
Enggan mendedahkan berat badannya sekarang, Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz nekad terus berusaha mengubah penampilan diri.
“Tanpa bantuan Ahya, saya tidak akan mencapai sasaran. Jika tidak kerana Ahya, saya tak boleh kurus,” katanya.
Dalam perkembangan lain, baru-baru ini, Zulin diumumkan sebagai pemenang pertandingan Perang Bibir yang menghimpunkan 24 artis menggayakan semula persembahan lagu hit tempatan dan antarabangsa di TV9.
“Sekalipun tiada rezeki pada ABPBH 3.0, bulan lalu, Allah bagi saya rezeki lain,” katanya yang memenangi trofi dan RM30,000.