Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.
Bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu kurang memberikan respons dan ada ketika, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Beliau masih dirawat di Hospital UiTM Sungai Buloh, sejak dua minggu lalu.
Sebelum ini, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu dikejarkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang.
Anaknya, Dr Norzizi Zulkifli berkata, keadaan bapa agak kritikal, semalam apabila langsung tidak memberikan respons.
“Sepatutnya, Papa boleh keluar hospital pada Jumaat, tetapi tahap kesihatan belum stabil. Sejak beberapa hari lalu, dia mula bercakap sendiri dan tak kenal orang.

“Ada kala sedar dan dengar arahan, ada masa tidak faham. Keadaannya seperti mamai. Bagaimanapun, dia tidak memberikan respons dan makanan disuapkan pun tidak digigit, semalam.
“Kami berada di sebelahnya juga seperti tak wujud,” katanya kepada BH Online.
Dr Norzizi berkata, bacaan pada buah pinggang masih lagi tinggi, manakala kurang sodium dalam darah. Pemeriksaan Imbasan CT mendapati ada pendarahan dalam otak, semalam.
“Selama ini, Papa memang ada penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung dan buah pinggang. Bagaimanapun, buah pinggang belum kritikal dan memerlukan dialisis.
“Penyakit buah pinggang masih dalam pengawasan, tetapi kali ini, bacaan buah pinggang agak teruk. Hari ini, Papa kena buat dialisis buat sementara waktu,” katanya.
Katanya, doktor memaklumkan pendarahan dalam otak tidak merebak, jadi masih ada harapan untuknya sembuh.
“Alhamdulillah, pendarahan dalam otak yang dikesan tidak merebak. Jika merebak kemungkinan dia tidak akan memberikan tindak balas. – Agensi