JOHANENSBURG, 15 OGOS – Bekas presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, memohon mahkamah tinggi untuk menolak keputusan kehakiman yang mengarahkan dia dipenjarakan semula untuk menjalani hukuman.
Zuma, 80, dilepaskan dalam parol perubatan pada bulan September 2021, selepas dua bulan penjara kerana tidak mengendahkan arahan penyiasat badan antirasuah. Zuma dihukum penjara 15 bulan atas tindakannya itu.
Pada bulan Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menarik semula keputusan parol tersebut dan berkata keputusan itu sebagai menyalahi undang-undang.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Rayuan yang terletak di tengah-tengah bandar Bloemfontein mula mendengar rayuan Zuma untuk membenarkan bekas presiden itu menjalani parol perubatan.
Peguam yang mewakili perkhidmatan penjara, Maribola Mphahlele berkata, pakar kesihatan telah mengesahkan Zuma mengalami penyakit kronik dan tahap kesihatan yang teruk.
Parol perubatan disyorkan oleh doktor kerana kesihatan Zuma “semakin teruk sejak tahun 2018 dan tidak mampu untuk melaksanakan kehidupan seharian mahupun penjagaan diri,” jelas Mphahlele.
Jacob Zuma dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan kerana menghina mahkamah selepas beliau enggan memberi testimoni berhubung siasatan rasuah.
Hukuman penjara tersebut menyebabkan berlakunya protes dan penjarahan di rumah Zuma di wilayah Kwa-Zulu-Natal yang merebak ke daerah hab kewangan Johannesburg pada Julai, meragut 350 jiwa dan mengakibatkan ekonomi Afrika Selatan merudum teruk.
Zuma menjawat jawatan presiden pada tahun 2009 namun digulingkan sembilan tahun kemudian berikutan skandal rasuah. – AFP