Zurich Malaysia, DoctorOnCall jalin kerjasama

KUALA LUMPUR, 13 DIS – Zurich Life Insurance Malaysia Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad (Zurich Malaysia) baru sahaja menandatangani perjanjian dengan DoctorOnCall, penyedia perkhidmatan kesihatan atas talian yang terkemuka bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan digital secara percuma kepada pemegang polisi insurans dan pelanggan Takaful baharu.

Manfaat sampingan ini membolehkan pelanggan mendapatkan akses percuma perundingan atas talian dengan doktor bertauliah tanpa perlu hadir secara fizikal ke klinik.

Pesakit boleh menerima preskripsi selepas sesi konsultasi, membeli ubat serta mendapatkan perkhidmatan penghantaran ke rumah.

Usaha sama Zurich Malaysia dengan DoctorOnCall mencerminkan komitmen syarikat ini untuk menyediakan penyelesaian, perkhidmatan dan pengalaman yang mengutamakan pelanggan bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah.

Ketua Zurich Malaysia, Stephen Clark berkata, “Perkembangan pesat dalam dunia teknologi telah mengubah dan membentuk gaya hidup moden kini dari segi komunikasi, kewangan dan hal ehwal kepenggunaan produk dan perkhidmatan.

Dengan nilai kekeluargaan menjadi aset yang tidak ternilai pada masa kini, setiap saat menjadi lebih berharga untuk diluangkan bersama.

Kami sedar tentang arus perubahan ini dan sentiasa mencari jalan penyelesaian dan perkhidmatan terbaik bagi meningkatkan kualiti hidup pelanggan kami. Kerjasama kami dengan DoctorOnCall adalah sejajar dengan misi ini dan kami percaya pelanggan akan mendapati bahawa platform ini akan memudahkan urusan kesihatan mereka.” – Bernama