Zverev kecewa lagi

STUTTGART, JERMAN, 14 JUN – Pemain nombor lima dunia, Alexander Zverev membuat permulaan yang kurang memberangsangkan pada musim gelanggang rumput ketika dia terkeluar dari perlawanan Stuttgart ATP oleh rakan seperjuangannya dari Jerman Dustin Brown, kelmarin.

Pemain handalan itu, yang tewas kepada Novak Djokovic pada suku akhir Terbuka Perancis minggu lepas, ditewaskan dengan jaringan 6-4, 6-7 (3/7), 6-3 oleh Brown yang berada di tangga ke-170.

Brown berusia 34 tahun, yang menewaskan Rafael Nadal pada pusingan kedua Wimbledon empat tahun lalu, berjaya menyelamatkan 13 daripada 14 mata ketika dia bergelut untuk menaikkan namanya dalam arena ini.

Zverev, 22, tidak pernah memenangi gelaran ATP di gelanggang rumput, manakala Brown akan berdepan dengan pemain remaja dari Kanada, Felix Auger-Aliassime di peringkat suku akhir pertamanya sejak Februari 2017.

“Saya sangat gembira,” kata Brown kepada www.atptour.com. “Saya tidak mempunyai prestasi yang agak baik tahun lalu dan hanya mahu beraksi dengan penuh keyakinan. Saya fikir Stuttgart sedikit sebanyak membantu permainan saya.

“Saya telah memenangi tiga perlawanan yang sangat bagus, dua dalam kelayakan dan satu menentang John Millman. Saya beraksi sedikit perlahan di gelanggang hari ini dan berdepan dengan kesukaran terutama ketika menentang Alex, yang merupakan pemain yang sangat hebat. – AFP

Alexander Zverev mengembalikan bola kepada Dustin Brown dari Jerman semasa perlawanan pusingan 16 mereka di Stuttgart, pada 13 Jun 2019. – AFP