Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 20 Sept – Seramai 23 orang ahli Persatuan Pandu Puteri yang baru dilantik yang terdiri daripada pelajar-pelajar dan tutor Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong telah dianugerahkan Lencana Keahlian Tenderfoot, baru-baru ini.
Majlis Penyerahan Lencana Keahlian Tenderfoot Persatuan Pandu Puteri itu telahpun diadakan di Teater Kuliah, PTE Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan lencana tersebut ialah Timbalan Ketua Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), Pengiran Hajah Sarah binti Pengiran Haji Kamaluddin.
Sebelum acara penganugerahan lencana berkenaan, Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah dalam ucapan alu-aluannya menekankan betapa pentingnya pelajaran, kemahiran dan pengalaman yang akan diambil daripada Persatuan Pandu Puteri dan berharap ahli-ahli yang baru dilantik tersebut akan dapat membantu memeriahkan lagi aktiviti kurikulum persatuan di pusat berkenaan pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengiran Hajah Sarah pula menekankan kepada ahli-ahli baru agar mementingkan tiga komponan penting dalam persatuan berkenaan iaitu kewajiban kepada Allah dan agama, bertanggungjawab kepada pemimpin negara dan menjaga undang-undang persatuan.
Beliau juga berkongsi pengalaman ringkas sebagai salah seorang ahli Persatuan Pandu Puteri melibatkan aktiviti-aktiviti yang dapat menggalakkan dan memberi peluang untuk mengembangkan kemahiran ahli-ahli.
Majlis turut menyaksikan pembacaan Ikrar Persatuan Pandu Puteri oleh ahli-ahli baru dilantik yang diketuai oleh Dayang Berlyanna Indah Yordhana binti Jefry yang merupakan pelajar PTE Tutong.