Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan pingat-pingat kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada seramai 383 orang lagi penerima sempena Hari Keputeraan Baginda ke-70 tahun.
Majlis pengurniaan pingat hari kedua tersebut berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman, hari ini.
Berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan pingat-pingat kehormatan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan dan pehin-pehin manteri.




Pada majlis berkenaan, seramai 29 orang dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) yang terdiri daripada seorang kakitangan dari Kementerian Pendidikan, dua dari Kementerian Pembangunan, seorang dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), dan 25 orang dari syarikat-syarikat swasta dan para atlet negara.
Manakala itu, seramai 354 orang lagi menerima Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B).
Seramai 125 daripadanya merupakan kakitangan dari Kementerian Pendidikan, seramai 68 dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, 44 orang dari Kementerian Pembangunan, 11 orang dari KKBS, 75 orang dari Kementerian Kesihatan dan 31 orang dari syarikat-syarikat swasta dan para atlet negara.


Salah seorang penerima P.I.K.B merupakan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Antara kriteria pengurniaan pingat P.J.K. termasuk mempunyai peribadi yang terpuji dan berkelakuan baik serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, negara dan agama.
Para penerima pingat P.I.K.B pula antara lain perlu mempunyai rekod yang bersih dalam semua perkhidmatan dalam kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta mempunyai penilaian prestasi tiga tahun kebelakangan sekurang-kurangnya dalam sangat baik.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.