Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
KISAH mengenai anak tidak mengakui ibunya atau sejarah legenda Jong Batu pernah diceritakan kepada penulis pada awal tahun 1950-an oleh moyang ibu bapa penulis melalui kisah orang-orang tua dahulu, semasa mereka masih hidup.
Dahulunya Kampong Ayer yang terletak di ulu Sungai Brunei adalah sebuah pusat pentadbiran dan perdagangan bagi masyarakat yang tinggal berdekatan dengan tebing itu. Ia juga rumah kepada pembesar-pembesar negara yang telah dikurniakan gelaran daripada Baginda Sultan dan juga penghuni kepada nelayan-nelayan atau ‘pemukat’.
Pada zaman dahulu, terdapat dua orang anak beranak tinggal di hulu kampung Sungai Brunei di mana kehdupan mereka sangat mewah dan memiliki harta yang banyak. Menurut ayah penulis dan masyarakat di Kampung Tumasek, yang mengetahui asal usul Jong Batu pada zaman itu, dipercayai bahawa ibu Nakhoda Manis memiliki harta sebanyak tujuh gedung di laut dan tujuh gedung di darat.
Pada satu hari, anak kesayangannya itu berhasrat untuk belayar ke luar negeri, untuk bertukar-tukar barang dagangan dan perniagaannya. Namun si ibu enggan membenarkannya kerana dialah satu-satunya anak yang dimilikinya. Anaknya seringkali memujuk beliau untuk belayar sambil menimba pengalaman bersama-sama saudagar kaya-raya di luar negeri.
Akhirnya si ibu membenarkan anaknya untuk belayar dan berpesan agar anaknya itu cepat pulang apabila sudah selesai beroleh barangan pertukaran itu. Ibunya sentiasa berdoa pada siang dan malam agar anaknya cepat pulang. Setiap hari air mata si ibu mengalir kerana sangat rindu dan sentiasa terkenangkan anaknya. Si ibu juga turut bersedekah kepada penduduk-penduduk kampung setiap hari dengan harapan dia akan dilindungi oleh Allah S.W.T dalam sepanjang perjalanannya dan agar anaknya cepat pulang.
Beberapa tahun kemudian, berita mengenai anaknya belum juga kedengaran. Ibunya tidak kendur-kendur untuk bersedekah. Apabila usia si ibu kian lanjut, raut wajahnya berkedut, warna rambutnya bertukar menjadi putih dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat kayu. Pandangan si ibu juga turut mulai kabur.
Manakala keadaan rumahnya sudah rosak dan usang di mana dinding dan tiang kayu rumah tersebut sudah ‘mumut’. Perahunya juga mengalami keadaan yang sama dengan keadaan bergelugut dan bocor.
Tibalah pada suatu hari di mana orang-orang kampung riuh-rendah apabila melihat sebuah bahtera yang sangat besar melintasi Sungai Brunei. Kapal tersebut kemudiannya berlabuh di tengah-tengah ulu Sungai Brunei. Nakhoda Manis seterusnya mengarahkan anak-anak kapalnya untuk menaiki ‘gubang’ atau sampan bagi mengambil air di Kampung Lumadan.
Berita tersebut sampai ke telinga ibu Nakhoda Manis mengenai bahtera besar berlabuh di ulu Sungai Brunei itu. Si ibu tidak sabar-sabar menantikan kepulangan anaknya yang membawa harta perniagaannya. Si ibu kemudian turun ke perahu dengan berpakaian kotor, koyak, berkeadaan cumpang-camping dan rambutnya kusut (tidak terurus). Perahu yang dikayuhnya itu sudah miris (bocor) dan berkulat.
Ibu Nakhoda Manis pun menghampiri bahtera tersebut dan memanggil anak-anak kapal di sana dan bertanyakan mengenai anaknya Nakhoda Manis.
“Tolong ku, aku kan berjumpa, rindu ku sudah akan anak kesayangan yang ku kasihi selama bertahun lamanya.” Melihat keadaan ibu Nakhoda Manis, anak-anak kapal menolak perahunya menjauhi bahtera besar itu. Tiba-tiba, anaknya keluar bersama perempuan yang sangat cantik paras wajahnya. Si ibu kemudian berkata “Itu anak ku, mari lai, mari anak yang ku kasihi. Ibu sudah menunggu bertahun-tahun lamanya. Rindu ku lai.”
Perempuan cantik yang berdekatan Nakhoda Manis itu tidak membenarkan beliau untuk naik ke atas bahtera tersebut. Malu melihat keadaan wajah si ibu yang kotor dan berbau busuk, Nakhoda Manis mengarahkan anak-anak kapal untuk menolak perahu si ibu dan melarangnya untuk menghampiri bahtera mereka. Ibunya berkali-kali memanggilnya “Kaulah anakku dunia akhirat,”
“Tidak, kau bukan ibuku, ibuku seorang yang kaya memiliki harta tujuh gedung di laut dan tujuh gedung di darat. Rupa parasnya cantik, kulitnya putih dan rambutnya kehitaman.” balas Nakhoda Manis. Sesudah si anak dan si ibu berasahut-sahutan, maka ibunya berkayuh balik dan tersadai di ‘tambing’ pasir Lumadan dan turun memandang bahtera besar yang berlabuh itu.
Ibu Nakhoda Manis menadah kedua belah tangannya ke langit dengan suara sayu, hiba dan bercucuran air mata, tidak dapat menahan kesedihan. Maka beliau pun memohon dengan berdoa “Ya Allah, Ya Tuhanku, sampai hati anak ku tidak mau mengaku aku ibu kandungnya, sembilan bulan sembilan hari aku mengandung, membesarkan, menyusui sehingga menjadi dewasa,” rintih si ibu.
Dengan kuasa Allah Subhanahu Wata’ala, tiba-tiba cuaca berubah gelap, hujun mulai turun dengan lebat, ribut sangat kuat, guruh dan petir sambar-menyambar, air sungai di ulu Kampong Ayer bergelora, ombak setinggi bukit menghempas bahtera anaknya itu. Kemudian Nakhoda Manis barulah sedar dan meminta ampun dengan melambai-lambaikan tangannya “Minta ampun ibu!” Jerit ibu Nakhoda Manis,
“Tidak, tidak, tidak, sampai hatimu tidak mengakui aku ibumu.” Bahtera Nahkhoda Manis hampir senget terdampar, dipukul oleh ombak setinggi bukit lalu terbalik di tepi tebing. Habis semua harta yang ada di dalam bahtera itu tenggelam ke air.
Si ibu kemudian pulang ke rumahnya dan menangis tidak henti-henti mengenangkan anak kesayangannya itu. Itulah pembalasannya dan disebut sebagai ‘anak ketulahan’ oleh masyarakat Brunei. Pada zaman penulis, kanak-kanak takut dan patuh kepada kedua orang tua.
Segala yang disuruh tidak akan dibantah. Jikalau masih keras hati, maka ditunjukkanlah kepada mereka Jong Batu. Apa yang diceritakan ini berkemungkinan kisah benar. Apabila para pengayuh lalu berdekatan dengan kawasan Jong Batu, mereka akan mendengar suara seperti orang menangis, bunyi pinggan mangkuk bergeseran dan apabila malam Jumaat terhidu bau kemanyan. Wallahuaklam…