Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan rasmikan Masjid baru Kg Sengkarai

    Oleh Normazlina M.D
    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    TUTONG, 7 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah berkenan berangkat ke Masjid Baru Kampung Sengkarai bagi menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama dan merasmikan masjid tersebut.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda  ‘Abdul Malik berserta kerabat diraja yang lain.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Sejurus keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi menandatangani plak perasmian pembukaan masjid baru tersebut dengan diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain ke Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam.
    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain ke Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam.
    Baginda Sultan berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam.
    Baginda Sultan berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam.
    Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain berkenan mengerjakan sembahyang Fardu Jumaat bersama para jemaah masjid.
    Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain berkenan mengerjakan sembahyang Fardu Jumaat bersama para jemaah masjid.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para jemaah di Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Kampung Sengkarai.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para jemaah di Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Kampung Sengkarai.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan beramah mesra bersama para jemaah.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan beramah mesra bersama para jemaah.

    Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, memaklumkan bahawa Baginda Sultan telah mengurniakan titah perkenan bagi bangunan Masjid Baru Kampung Sengkarai berkenaan diberikan nama rasmi sebagai Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Kampung Sengkarai berkuat kuasa mulai 10 Rejab 1438 bersamaan dengan 7 April 2017.

    Azan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid tersebut telah dilaungkan oleh Haji Mohd Deli bin Haji Raya, manakala itu, Khutbah Jumaat dan Sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Jaya bin Haji Yahya.

    Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam dibina atas tanah berkeluasan lima ekar, yang mana kerja-kerja pembinaannya telah bermula pada 3 Disember 2015 dan siap sepenuhnya pada 3 Februari 2017.

    Haji Jaya ketika membacakan khutbah Jumaat.
    Haji Jaya ketika membacakan khutbah Jumaat.
    Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Kampung Sengkarai.
    Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Kampung Sengkarai.

    Pembinaan masjid berkenaan dianggarkan berjumlah $3,833,535 menggunakan peruntukan Majlis Ugama Islam Brunei melalui Wang Zakat Asnaf Al-Gharimin.

    Masjid tersebut boleh menampung lebih kurang 1,000 orang jemaah dan antara kemudahan disediakan termasuk dewan sembahyang utama lelaki, dewan sembahyang perempuan, bilik mesyuarat, bilik tetamu khas, bilik kuliah, perpustakaan, bilik pengurusan jenazah dan tempat laluan bagi orang kurang upaya.

    Pembukaan masjid itu diharap akan dapat memberi keselesaan kepada penduduk Kampung Sengkarai serta jemaah menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan sembahyang fardu Jumaat di kawasan tersebut.

    Ia juga dihasratkan akan digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan bagi meningkatkan serta mengembangkan syiar Islam di Kampung Sengkarai secara khususnya dan di Negara Brunei Darussalam secara amnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda