Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Sempena sambutan ulang tahun ke-63, Jabatan Penjara mengadakan Ekspo Pameran dan Jualan Produk jabatan itu bermula hari ini sehingga 2 April di Giant Hypermart, Tasek Rimba.
Hadir merasmikan ekspo tersebut ialah Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat.
Ekspo mengetengahkan hasil kerja tangan penghuni penjara lelaki dan wanita dari Penjara Jerudong, Maraburong dan Penjara Wanita dan merupakan projek tahunan jabatan itu.
Antara hasil tangan yang dijual dan dipamerkan dari Jabatan Penjara Jerudong ialah meja seterika, meja kopi, rehal, meja serba guna dan pelbagai jenis tulisan kreatif seperti khat bagi perhiasan dinding.
Manakala penghuni di Penjara Maraburong pula menghasilkan barangan kimpalan seperti set barbeku, penyidai baju, meja seterika, rak kasut, meja kopi dan sebagainya.
Bagi Penjara Wanita pula, hasil tangan mereka termasuklah tudung, songkok dan barangan perhiasan rumah.
Jualan ini diselia oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.
Ia bertujuan meningkatkan keberkesanan program pemulihan selaras dengan visi dan misi Jabatan Penjara bagi menyediakan program pembentukan akhlak pemulihan yang sempurna berterusan kepada penghuni agar mereka boleh insaf dan kembali ke pangkuan masyarakat berilmu, berakhlak dan beragama.