LIMAU kasturi adalah sejenis buah sitrus yang paling banyak digunakan dalam masakan di Asia Tenggara. Perahan jus limau kasturi boleh memberikan rasa segar terhadap makanan dan minuman yang disediakan.
Buah ini turut dikenali dengan nama kalamondon di Filipina, Manaowan di Thailand dan jeruk potong di Indonesia di mana ia dipercayai berasal dari China dan telah dibawa ke Indonesia dan Filipina.
Pokok limau kasturi boleh dikenali melalui batang dan cabang pokoknya yangt berduri. Buahnya berbentuk seperti limau dengan saiznya lebih kecil.
Baunya harum dan sangat menyegarkan di mana buah limau kasturi ini juga sangat kaya dengan kandungan vitamin C dan antioksidan yang baik.
Limau kasturi dikatakan mampu untuk dijadikan sebagai penghilang bau badan terutama jika dimakan dengan kulitnya kerana ia berupaya untuk menghalang perpeluhan yang melampau.
Ia mengandungi sebatian antibakteria yang baik. Biasanya, bakteria yang telah bercampur dengan peluh akan menyebabkan masalah bau badan.
Terdapat dua cara yang boleh digunakan untuk menghilangkan masalah bau badan. Pertama adalah dengan memerah dua biji limau kasturi ke dalam air mandian.
Manakala, satu cara lagi adalah dengan menggosok limau kasturi yang telah dibelah dua terus pada kawasan yang berbau.
Limau kasturi yang telah diramas boleh dijadikan sebagai pencuci rambut atau kulit kepala. Dikatakan cara ini mampu menghilangkan rasa kegatalan pada kulit kepala malah mampu untuk merangsang pertumbuhan rambut.
Jus limau kasturi yang disapu pada wajah dikatakan mampu menghilangkan jeragat dan membantu mengatasi masalah jerawat.
Limau kasturi merupakan bahan penjagaan kulit popular. Ia mempunyai kebaikan untuk tujuan kecantikan.
Kandungan asid askorbik atau vitamin C di dalam buah ini boleh menguatkan sistem kekebalan dan meningkatkan penghasilan kolagen dalam tubuh.
Oleh itu, jus limau kasturi diminum sebagai tonik kecantikan. Apabila disapu pada bahagian kulit, ia mampu untuk menghaluskan kulit.
Perahan jus limau kasturi penuh dengan vitamin dan mi-neral. Oleh itu, secara tradisionalnya, buah ini digunakan untuk mencegah masalah demam selesema.
Selain itu, vitamin C dalam buah limau kasturi mampu untuk memastikan penyembuhan segera daripada jangkitan virus dan bakteria.
Bagi yang cuba untuk mengurangkan berat badan adalah dicadangkan untuk meminum jus limau kasturi pada setiap hari.
Ia memiliki rasa yang segar, sihat dan rendah kalori. Pengambilan kerap jus limau kasturi dapat membersihkan organ dan mendetoksifikasi usus.
Di samping itu, ia juga mampu untuk mencegah masalah sembelit, memperbaiki pergerakan usus dan menghapuskan lemak yang terkumpul. Ia juga turut memberikan rasa yang mengenyangkan.
Adalah digalakkan untuk meminum jus limau kasturi sebelum makan agar anda tidak terlebih makan.
Penduduk di negara Asia pada dasarnya suka untuk memiliki kulit yang cerah. Limau kasturi adalah agen pelunturan yang digunakan.
TIdak seperti agen pelunturan lain, ekstrak limau kasturi adalah amat ringan, semula jadi dan berkesan.
Caranya adalah dengan menyapukan ekstrak jus ini pada tubuh yang mahu dicerahkan. Sapukan ia sebanyak dua kali seminggu dan anda akan dapat melihat kesannya dalam masa dua minggu.
Meminum jus limau kasturi bukan sahaja merangsang rintangan tubuh terhadap penyakit, ia turut mencegah masalah mulut.
Vitamin dalam jus limau kasturi mampu untuk mencegah kerosakan gigi, gingivitis, pendarahan gusi atau kehilangan gigi.
Ia turut menghapuskan plak dan menghilangkan kesan noda pada gigi.