Sunday, November 24, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Puja Usia

    Oleh Yusrin Junaidi & Normazlina M.D

    Gambar oleh Abdul Hakim Yakoff & Normazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) selaku Sekretariat Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA), kelmarin, telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ke-43 Tahun.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan telah berkenan berangkat ke majlis yang berlangsung di Kompleks Yayasan, di ibu negara itu.

    Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA; Menteri Hal Ehwal Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku timbalan pengerusi I Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi selaku timbalan pengerusi II Lembaga Pengarah Yayasan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, timbalan pengerusi II Lembaga Pemegang Amanah DANA.

    Selain itu, hadir sama ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Lembaga Pemegang Amanah DANA, para jemputan khas termasuk para penyumbang tetap DANA, pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Atur cara majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

    Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan menghadiri Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota.
    Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan menghadiri Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain ketika menyertai majlis berkenaan, kelmarin.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain ketika menyertai majlis berkenaan, kelmarin.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil beramai-ramai sebelum bacaan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia dan diakhiri dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah.

    Sementara itu, hari ini, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong turut mengadakan majlis serupa yang berlangsung di Surau As-Salam, Hospital PMMPMHAMB Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis petang tadi itu ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat dan diikuti bacaan Surah Yasin beramai-ramai, bacaan Doa Khas sempena Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia dan seterusnya menunaikan sembahyang fardu Asar berjemaah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda