Wednesday, December 25, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persediaan ke institut pengajian tinggi

    Oleh Normazlina M.D

    TUTONG, 27 April – Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) melalui Unit Pembangunan Pendidikan (EDU), baru-baru ini, telah mengadakan program akademik dinamakan Illal Majdi Wan Najaah (IMAN).

    Program tersebut menyasarkan pelajar-pelajar yang mendapat 280 mata dan ke atas berdasarkan sistem mata tarif UCAS dan pelajar-pelajar Tingkatan Enam Bawah bagi peperiksaan akhir tahun dan pelajar-pelajar yang baru mendapat keputusan Peperiksaan GCE ‘AS’ Level bagi November 2016 yang dinamakan sebagai ‘Kumpulan Imtiaz’ bersama ibu bapa dan penjaga.

    Berdasarkan pencapaian terkini mereka, wakil-wakil dari EDU PTET menyampaikan taklimat untuk pelajar dan ibu bapa mengenai pelbagai maklumat yang berguna bagi memudahkan permohonan kemasukan universiti bagi pelajar-pelajar itu nanti.

    Hadir bagi menyampaikan taklimat tersebut ialah Penolong Guru Kanan (Akademik) PTET, Dayang Nur Adyani binti Haji Yusop; Ketua EDU PTET, Charles Lim dan Pakar Kerjaya PTET, Dayangku Farizah binti Pengiran Haji Wahab.

    Menerusi taklimat tersebut, Dayang Nur Adyani berpesan agar pelajar-pelajar tidak akan memandang remeh terhadap Peperiksaan GCE ‘AS’ Level dan peperiksaan di sekolah tersebut.

    Pelajar-pelajar dan ibu bapa yang hadir bagi mendengarkan taklimat melalui Program IMAN.
    Pelajar-pelajar dan ibu bapa yang hadir bagi mendengarkan taklimat melalui Program IMAN.

    Beliau juga memberikan tumpuan kepada syarat-syarat kemasukan ke universiti.

    Sementara itu, Charles Lim juga berkongsi dengan pelajar mengenai biasiswa yang ditawarkan, senarai kursus mengikut keperluan negara dan juga pelbagai ujian kebolehan untuk kursus-kursus. Beliau seterusnya memberikan motivasi kepada pelajar agar mereka dapat menetapkan sasaran yang tinggi.

    Dayangku Farizah pula menyampaikan taklimat mengenai pinjaman pendidikan kerajaan dan bagaimana memohon selepas keluar keputusan peperiksaan.

    Program tersebut bertujuan untuk memberikan motivasi kepada para pelajar pusat berkenaan dalam usaha melahirkan pelajar yang serba boleh selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

    Melalui program berkenaan, ia diharapkan akan memberikan manfaat kepada Kumpulan Imtiaz dan ibu bapa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda