Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 9 Feb – Bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai mata pelajaran yang ditawarkan bagi melanjutkan pelajaran ke Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong, pusat tersebut hari ini telah mengadakan hari terbuka khusus kepada mereka yang tinggal di Daerah Tutong dan sekitarnya di sekolah tersebut.
Semasa acara tersebut, para pelajar dan ibu bapa berpeluang berkomunikasi bersama pensyarah-pensyarah mata pelajaran dari aliran sains dan sains sosial bagi meminta nasihat dan pendapat mengenai pengambilan mata pelajaran yang diminati serta bersesuaian dengan kerjaya pelajar itu nanti.
Sepertimana syarat-syarat Kementerian Pendidikan, kemasukan standard ke PTE ialah mereka perlulah memperolehi sekurang-kurangnya lima kredit dalam Peperiksaan Peringkat ‘O’.
Walau bagaimanapun, bakal pelajar perlu bijak memilih subjek Peringat ‘A’ dengan teliti kerana mereka perlu bersedia untuk bekerja keras dari segi mental dan fizikal serta tidak mudah putus asa.
Turut hadir ialah Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah dan Timbalan Pengetua, Awang Al-Masri bin Haji Sulaiman.
Juga hadir memberikan taklimat ialah Dayang Rozieana binti Haji Zini, yang juga turut berkongsi secara ringkas mengenai amalan terbaik untuk ibu bapa dan bakal pelajar.
PTE Tutong telah menawarkan 18 mata pelajaran termasuk subjek dari aliran sains dan sains sosial bagi Peperiksaan Peringkat ‘A’ dan ‘AS’.Hari Terbuka tersebut akan diteruskan sehingga hari Sabtu, 11 Februari ini.