Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 15 Sept – Untuk memudahkan para pelajar bagi melanjutkan pengajian ke universiti-universiti di United Kingdom khususnya di Universiti Oxford dan Universiti Cambridge, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong telah mengadakan sesi taklimat mengenai proses aplikasi dan kemasukan ke universiti berkenaan, kelmarin.
Taklimat telah disampaikan oleh dua orang mahasiswa tahun akhir iaitu Khong Yu Neng, mahasiswa dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kimia di Universiti Oxford dan Shaun Sim, mahasiswa tahun akhir dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Cambridge.
Universiti Oxford dan Universiti Cambridge merupakan dua buah universiti yang terkemuka di United Kingdom dan berprestij di dunia. Kedua universiti ini secara kolektif dikenali sebagai OxBridge.
Semasa menyampaikan sesi perbincangannya, Shaun Sim menekankan mengenai kelebihan melanjutkan pengajian ke OxBridge, di mana universiti berkenaan mempunyai pengajaran yang bertaraf dunia termasuklah dari sesi kuliah, seminar dan praktikal.
Untuk memohon melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan, Shaun Sim mengingatkan kepada calon pemohon bagi Universiti Cambridge bahawa universiti berkenaan memerlukan Aplikasi Pendahuluan Online Cambridge (COPA) yang berasingan serta memerlukan butiran yang lebih banyak daripada Perkhidmatan Kemasukan Universiti dan Kolej (UCAS).
Bagi pelajar-pelajar Brunei yang berminat, mereka juga akan ditemu ramah di Singapura dan borang aplikasi tersebut hendaklah diserahkan pada 20 September 2017 ini dan 15 Oktober bagi yang permohonan melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.
Sehubungan itu, pelajar-pelajar juga disarankan untuk mendapatkan kaunselor pendidikan tinggi sekolah secepat mungkin bagi memenuhi syarat dan kelayakan kemasukannya.
Sementara itu, Yu Neng menambah, antara salah satu ciri unik untuk memohon OxBridge ialah kebanyakan pemohon akan ditemu ramah bagi menilai sama ada kursus yang dipilih pemohon adalah berpotensi untuk dikaji di peringkat tertinggi dan akan mendapat manfaat daripada sistem pengawasan tutorial ataupun penyeliaan.
Sesi perkongsian tersebut merupakan salah satu acara tahunan yang dianjurkan oleh PTE Tutong sejak tahun 2009, di mana sesi tersebut adalah khusus bagi pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi di kedua buah universiti berkenaan.
Pada akhir sesi taklimat, Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah telah menyampaikan sijil penghargaan kepada kedua-dua pembentang.
Mereka yang berminat untuk mengetahui cara-cara memohon dan aplikasi dari slaid pembentangan kedua-dua penyampai berkenaan, mereka bolehlah melayari ke http://bit.ly/2wXSAoU