Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 1 Dis – Sebagai salah satu aktiviti akhir persekolahan, Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) telah menganjurkan Projek Mencantikkan PTET dengan bertemakan PTETku Ceria yang dikendalikan bersama oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru-guru (PIBG), baru-baru ini.
Adapun tujuan projek itu diadakan adalah untuk memperbaiki persekitaran sekolah supaya sentiasa berada dalam keadaan bersih, ceria dan cantik. Di samping itu, ia juga bertujuan bagi meningkatkan keceriaan sekolah dengan penyediaan persekitaran yang kondusif.
Turut hadir semasa aktiviti tersebut ialah Pengetua PTET, Hajah Murni binti Abdullah dan Pengerusi PIBG PTET, Haji Amit bin Haji Omar.
Projek tersebut, yang melibatkan semua warga PTET termasuklah PIBG PTET, telah melaksanakan kerja bergotong-royong membersihkan persekitaran pusat tingkatan enam tersebut dan menanam anak-anak pokok.
Projek seumpama ini diharap akan dapat menggalakkan warga sekolah dan PIBG untuk bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pelajar-pelajar, guru-guru dan ibu bapa.