Friday, March 14, 2025
32.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raya bersama Pegawai Daerah Tutong

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 21 Julai – Dalam kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang masih terasa di penghujung Syawal ini, Pegawai Daerah Tutong bersama keluarga juga telah mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama pemimpin-pemimpin masyarakat, ketua-ketua cawangan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong. Majlis berkenaan diadakan di rumah kediaman rasmi Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain di Sungai Basong, Tutong.

    Adapun tujuan lain Majlis Ramah Mesra yang diadakan ini adalah untuk memberi peluang kepada mereka bermaaf-maafan dan meningkatkan hubungan silaturahim sesama mereka.

    Ketika ditemu bual, Awang Shamsul Bahrin menjelaskan, keistimewaan majlis yang diadakan ini adalah tanda kesyukuran kepada ahli-ahli yang terlibat dalam menjayakan majlis keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk ke Daerah Tutong sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-71 yang diadakan baru-baru ini.

    Mewakili semua rakyat dan penduduk Daerah Tutong, beliau menyembahkan setinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana telah berkenan berangkat ke Daerah Tutong dan memilih Daerah Tutong sebagai daerah pertama bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk.

    Awang Shamsul Bahrin bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong yang hadir pada majlis itu.
    Awang Shamsul Bahrin bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong yang hadir pada majlis itu.

    Bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-71 tahun, Pegawai Daerah Tutong seterusnya menyeru orang ramai untuk beramai-ramai berkunjung ke pentas perayaan yang diadakan di kawasan lapang berhadapan dengan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, di sini.

    Selain mengadakan pentas perayaan yang melibatkan beberapa persembahan, pada 29 Julai ini, persembahan bunga api akan diadakan di Pekan Tutong.

    Di kesempatan ini, Pegawai Daerah Tutong mewakili para pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua penghulu dan ketua kampung di Daerah Tutong khususnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda