Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 8 Dis – Sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada pelajar dengan aktiviti bermanfaat yang menjurus ke arah melahirkan pemimpin yang berwibawa dan berkaliber tinggi, Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) telah mengadakan Program Perkhemahan ‘Qaid Assyumul’ 2017, baru-baru ini.
Program perkhemahan bertemakan ‘Golden Theme’ yang berlangsung di sekolah berkenaan disertai oleh 56 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pembimbing Rakan Remaja (PRR) melalui Program Perkhemahan Pemimpin Pelajar bagi MPP dan PRR, PTET Tahun 2017.
Program selama tiga hari dan tiga malam itu yang dikenali sebagai ‘Qaid Assyumul’ merupakan ungkapan dari Bahasa Arab yang membawa maksud pemimpin pelajar yang holistik anjuran Unit Kepimpinan Pelajar PTET.
Ia diadakan untuk memberi pendedahan kepada para pemimpin pelajar dengan maklumat yang berkaitan dengan kepimpinan dan ciri-ciri pemimpin yang boleh diteladani, di samping untuk membentuk pelapis pemimpin yang dinamik serta berkebolehan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis sekali gus merasmikan program berkenaan ialah Pengetua, PTET, Hajah Murni binti Abdullah. Turut hadir ialah Ketua Majlis Pelajar, PTET, Dayang Raihan binti Haji Nokman; Pegawai Kaunselor PTET, Dayang Norhaslinda binti Haji Adnan dan ibu bapa para peserta.
Menurut Ketua Unit Kepimpinan Pelajar PTET, Awang Azrin bin Haji Bolhassan, dengan adanya program ini, ia akan dapat melahirkan pemimpin pelajar sebagai aset penting dan tonggak pertumbuhan negara pada masa akan datang melalui pendedahan kepada semua kursus yang bermanfaat berkaitan ciri-ciri pemimpin yang boleh dicontohi sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.
Sementara itu, menurut Dayang Norhaslinda, perkhemahan tahun ini dihasrat dapat membentuk para pemimpin pelajar sebagai role model kepada rakan-rakan yang lain, menjadi pemimpin yang dinamik dan berbakat dengan semangat kepimpinan yang berkualiti.
Dayang Raihan juga menyatakan bahawa beberapa aktiviti yang akan dijalankan menjurus kepada aktiviti keagamaan dan rohani, kemahiran berkomunikasi, kepimpinan dan aktiviti pembangunan berkumpulan dan pertunjukan bakat bagi para pemimpin pelajar.
Program ini juga dijalankan bagi memantapkan pengetahuan sedia ada di kalangan pemimpin pelajar dengan program kepimpinan jati diri. Selain itu, ia juga diadakan untuk mengukuhkan nilai-nilai teras PTET iaitu Perserverance, Trustworthy, Excellence dan Team Synergy dalam kalangan pemimpin pelajar.
Sementara itu, taklimat, aktiviti suai kenal dan perbincangan berkumpulan mengenai aktiviti antara peserta pemimpin pelajar juga diadakan bagi melancarkan program berkenaan.
Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program perkhemahan ini ialah riadah pagi dengan aktiviti kawad, Golden Race yang menerapkan nilai-nilai kerja berpasukan dan juga Bengkel ‘Think Globally, Act Locally’ yang dikendalikan oleh Persatuan KamiPrihatin (WeCare) sebagai langkah untuk mengenalkan dan mempraktikkan kemahiran ciri-ciri kepimpinan strategik sebagai organisasi sukarelawan yang menghulurkan bantuan kemanusiaan.