YASHIO, 30 JAN – Harapan semakin tipis bagi seorang mangsa lelaki berusia 74 tahun yang terperangkap selepas lori dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam besar, dengan operasi menyelamat memasuki malam ketiga hari ini yang menghadapi kesukaran akibat tanah yang tidak stabil.
Pihak berkuasa Jepun meminta kira-kira 1.2 juta penduduk di sekitar bandar Yashio, utara Tokyo, supaya mengurangkan penggunaan air seperti mandi dan membasuh pakaian bagi mengelakkan kebocoran air sisa yang boleh menyukarkan usaha menyelamat.
Lubang benam itu tiba-tiba terbuka di satu persimpangan jalan raya utama ketika waktu puncak pagi Selasa dan lori mangsa terjatuh ke dalam.
Lubang itu pada mulanya dianggarkan berukuran 10 meter lebar dan enam meter dalam, kemudian bergabung dengan satu lagi lubang, menyebabkan keadaan semakin berbahaya.
“Sekitar jam 2:30 pagi tadi, dua lubang itu telah bercantum menjadi satu. Dengan risiko tanah runtuh dan jalan raya runtuh, kami tidak dapat menggunakan jentera berat dalam operasi ini,” kata pegawai jabatan bomba kepada AFP.
Keadaan tanah yang tidak stabil serta kebocoran air yang berterusan menyukarkan usaha menyelamat, manakala lokasi kejadian kekal dikawal ketat bagi mengelakkan insiden lain.
Bandar Yashio terkenal sebagai kawasan perindustrian dengan banyak kilang di sekeliling lokasi kejadian.
“Saya selalu menggunakan persimpangan ini untuk berulang-alik ke tempat kerja. Ini membuatkan saya terfikir, saya mungkin berada di situ ketika kejadian,” kata Hiromasa Saito, pekerja sebuah kilang pemprosesan logam berhampiran.
“Kami diberitahu oleh syarikat untuk menjimatkan air, jadi kami kurangkan membasuh tangan,” katanya lagi.
Pihak berkuasa percaya punca utama kejadian adalah saluran pembetungan di bawah tanah yang telah mengalami hakisan, menyebabkan ia runtuh dan membentuk lubang besar. – AFP