PARIS, 15 OGOS – Sekurang-kurangnya 1.4 juta gadis di Afghanistan telah dinafikan akses kepada pendidikan menengah sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021, dengan masa depan seluruh generasi kini ‘terancam,’ menurut agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hari ini.
Akses kepada pendidikan rendah juga merosot dengan ketara, dengan 1.1 juta kurang kanak-kanak perempuan dan lelaki bersekolah, kata UNESCO dalam satu kenyataan ketika pihak berkuasa Taliban memperingati tiga tahun sejak menawan semula Afghanistan pada 15 Ogos 2021.
“UNESCO bimbang dengan kesan negatif daripada kadar keciciran yang semakin besar ini, yang boleh membawa kepada peningkatan dalam buruh kanak-kanak dan perkahwinan awal,” kata agensi itu.
“Dalam tempoh tiga tahun sahaja, pihak berkuasa de facto hampir menghapuskan dua dekad kemajuan kukuh untuk pendidikan di Afghanistan, dan masa depan seluruh generasi kini terancam.” – AFP


