Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    1.5 tan produk segar dan makanan proses dirampas

    SINGAPURA, 29 MAC – Kira-kira 1.5 tan produk segar dan makanan diproses yang diimport secara haram dari Malaysia dirampas Agensi Makanan Singapura (SFA) selepas satu operasi bersama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) awal minggu ini.

    SFA dan ICA dalam kenyataan bersama berkata operasi itu dijalankan dari 25 hingga 26 Mac ke atas trak penghantaran sayur-sayuran yang biasanya mengangkut hasil untuk diedarkan terus kepada peruncit dan pelanggan yang memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.

    Semasa operasi itu, pegawai ICA merujuk dua trak ke SFA untuk pemeriksaan lanjut kerana percanggahan dalam konsainan yang diangkut.

    “SFA kemudian menemukan 1.5 tan hasil yang tidak diisytiharkan seperti bayam, cili padi, daun bawang, terung, bawang putih yang dikupas dan kobis potong yang diimport oleh tiga pengimport dalam dua trak itu. Semua hasil import haram telah dirampas,” menurut agensi itu.

    Di Singapura, makanan yang diimport ke negara itu mesti memenuhi keperluan SFA.

    Buah-buahan dan sayur-sayuran hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen dan setiap konsainan mesti diisytiharkan dan disertakan dengan permit import yang sah.

    Pesalah yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran segar secara haram berdepan denda maksimum S$10,000 dan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, mereka yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran diproses secara haram boleh didenda tidak melebihi S$1,000 dan sabitan berikutnya, didenda tidak melebihi S$2,000. – Bernama

    Foto oleh SFA menunjukkan antara produk yang telah dirampas. – ANN/The Straits Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda