Tuesday, July 15, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    1.87 juta jemaah haji guna Tren Metro Mashaer

    MEKAH, 10 JUN – Perkhidmatan Tren Metro Mashaer yang dikendalikan oleh Saudi Arabia Railways (SAR) telah membawa kira-kira 1.87 juta penumpang antara stesen Mina, Muzdalifah dan Arafah sepanjang tempoh operasi dari 7 Zulhijah hingga tamat Hari Tasyrik, dengan jumlah keseluruhan 2,154 perjalanan.

    Menurut Agensi Berita Saudi, SPA, pelan operasi Tren Metro Mashaer bagi musim haji 1446 Hijrah merangkumi lima fasa utama. Fasa pertama dari 7 hingga 8 Zulhijah menyaksikan lebih 27,000 penumpang diangkut di semua stesen.

    Fasa kedua menyaksikan pergerakan 282,000 jemaah dari Mina ke Arafah, diikuti fasa ketiga yang membawa 294,000 jemaah dari Arafah ke Muzdalifah. Dalam fasa keempat, lebih 349,000 jemaah diangkut dari Muzdalifah ke Mina.

    Fasa terakhir, yang berlangsung hingga matahari terbenam pada hari terakhir Tasyrik, mencatat pergerakan lebih 920,000 penumpang ke dan dari Stesen Mina 3 (Jamarat).

    Ketua Pegawai Eksekutif SAR Dr Bashar AlMalik, melahirkan penghargaan atas sokongan dan kepercayaan kepimpinan Arab Saudi yang menyumbang kepada penyelarasan perkhidmatan kepada jemaah termasuk pengangkutan melalui Tren Metro Mashaer.

    Beliau berkata kejayaan pelaksanaan pelan operasi itu mencerminkan komitmen kakitangan SAR serta kerjasama erat dengan agensi operasi dan keselamatan, disokong oleh persiapan rapi seperti latihan simulasi dan percubaan berskala penuh yang menjamin tahap kesiapsiagaan dan keselamatan tertinggi. – Bernama

    Saudi Arabia Railways (SAR) mengumumkan kesiapsiagaan penuh operasi Kereta Api Metro Mashaer bagi musim Haji 1446 Hijrah, bermula pagi Selasa, 7 Zulhijah. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda