1 kematian, 43 kes demam denggi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Negara Brunei Darussalam mencatatkan sebanyak 43 kes demam denggi yang telah dilaporkan dan satu kematian dikaitkan dengan demam denggi berdarah setakat 25 Julai.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin menyatakan, jumlah kes itu bagaimanapun sedikit berkurangan berbanding sebanyak 69 kes dilaporkan pada tahun 2019 dalam tempoh yang sama.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa buah negara jiran dilaporkan sedang mengalami peningkatan jumlah kes demam denggi pada ketika ini, menurut kenyataan itu lagi, dengan nyamuk jenis Aedes didapati di kebanyakan tempat di negara ini.

Nyamuk Aedes itu juga mudah membiak di dalam takungan air sama ada di dalam atau di luar rumah seperti di pasu-pasu bunga, longkang-longkang yang tersumbat dan botol-botol plastik serta bekas-bekas tayar yang digunakan sebagai gubahan landskap, di dalam tempat-tempat takungan air yang tidak tertutup rapat seperti tangki air, baldi, tajau dan sebagainya serta sampah sarap yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong, bekas-bekas tayar yang terbiar, botol-botol kosong dan bekas kotak makanan.

Menurut Kementerian Kesihatan, setakat ini tidak ada rawatan khusus bagi merawat penyakit demam denggi dan rawatan hanya lebih tertumpu kepada rawatan sokongan untuk melegakan tanda-tanda jangkitan dan pemantauan rapi di hospital, jika diperlukan.

Bagi setiap kes penyakit bawaan-nyamuk yang dilaporkan, pihak Kementerian Kesihatan melaksanakan langkah-langkah berikut iaitu pengesanan kontak (Contact tracing) iaitu pemeriksaan orang-orang terdekat kepada kes untuk memastikan tidak ada orang lain yang mempunyai tanda-tanda penyakit serupa. Ujian juga dilakukan kepada mana-mana orang terdekat yang didapati mempunyai tanda-tanda penyakit.

Entomological surveillance iaitu pemeriksaan entomologi di persekitaran kawasan rumah dan kawasan-kawasan yang sering dikunjungi oleh penghidap penyakit bagi memastikan jenis vektor yang mungkin berada di kawasan tersebut serta vector control activities iaitu pengawalan vektor melalui penggunaan bahan-bahan racun serangga bagi memusnahkan nyamuk dewasa dan jentik-jentik.

Dalam pada itu, pemantauan dan pengawalan serangga juga dilakukan secara rutin, terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sebagai titik panas tempat-tempat pembiakan dan kelompok kes.

Perlu diperingatkan, penyemburan racun serangga hanyalah kaedah alternatif yang bersifat sementara. Untuk pengawalan jangka panjang yang lebih berkesan, penjagaan persekitaran yang bersih dan bebas dari tempat menjadi punca pembiakan nyamuk adalah lebih utama.

Oleh itu, semua pihak berperanan dan tanggungjawab di dalam mengambil langkah-langkah pengawalan dan pencegahan jangkitan penyakit bawaan nyamuk. Bagi mencegah dan mengawal penyakit ini, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai untuk memeriksa dan menjaga persekitaran kebersihan rumah dan bangunan masing-masing dan memastikan tidak ada tempat atau bekas yang boleh menakung air serta menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes, mencuci bekas-bekas tersebut dengan bersih untuk memusnahkan sisa-sisa telur nyamuk kerana telur-telur nyamuk boleh bertahan di tempat yang kering selama enam bulan dan sebaik saja telur-telur tersebut terdedah kepada air, telur-telur nyamuk boleh menetas dalam masa tujuh hari serta membuang takungan air dan membuang sampah sarap secara kerap dan teratur terutamanya yang boleh menakung air.

Kementerian Kesihatan juga akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada orang ramai jika perlu.