Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Seorang individu yang didapati tidak memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di kawasan premis masjid antara yang dikenakan kompaun $100 semasa beberapa sesi Operasi Merati yang dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dari 24 hingga 30 Ogos.
Dalam operasi di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah itu, sebanyak 26 buah premis perniagaan telah didapati tidak mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dan telah dikenakan denda kompaun keseluruhannya sebanyak $4,500.
Antara kesalahan-kesalahan yang dikenakan kompaun ialah tidak memakai penutup mulut dan hidung bagi pengendali dan penyedia makanan serta para jemaah di masjid yang berkenaan, tiada pemeriksaan suhu badan dan tiada penjarakan sosial serta fizikal.
Operasi berkenaan melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasaan kesihatan dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan di mana sebanyak 54 buah premis perniagaan telah diperiksa iaitu sebuah masjid, 30 buah premis makanan dan 23 buah gerai, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini.
Kenyataan menyatakan bahawa operasi berkenaan dijalankan di masjid, premis makanan dan gerai di kawasan-kawasan di Daerah Brunei Muara iaitu Masjid Mentiri, Tanjung Bunut, Kiulap, Sungai Hancing, Menglait, Anggerek Desa, Mabohai, kawasan Jalan Tutong dan Bandar Seri Begawan, Daerah Belait iaitu Mukim Seria, Daerah Tutong iaitu Jalan Enche Awang serta Daerah Temburong iaitu Kampung Sungai Tanit, Kampung Amo dan Kampung Rataie.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa Unit Penguatkuasaan Kesihatan menyarankan para pelanggan premis untuk menggunakan aplikasi BruHealth semasa mengunjungi premis dan memberikan teguran kepada pelanggan-pelanggan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti penjarakan fizikal semasa berada dalam premis-premis berkenaan.
Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan dan mengingatkan orang ramai, terutama sekali bagi para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya terutama sekali memastikan pengendali, penyelia makanan dan kakitangan mereka memakai penutup mulut dan hidung.
Mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.
Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai, terutama sekali kepada para jemaah yang berada di kawasan premis masjid, surau dan balai-balai ibadat untuk memakai penutup mulut dan hidung serta mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Pengurus premis juga disarankan untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis tersebut dan mencetak kod QR dan dilekatkan di kawasan yang mudah diimbas oleh pelanggan.
Pengurus premis juga diingatkan untuk menggunakan aplikasi Premise Scan bagi memudahkan pelanggan-pelanggan yang tidak mempunyai aplikasi BruHealth di telefon bimbit mereka dan elakkan daripada menggunakan kaedah mencatat butir peribadi dalam buku sebagai kaedah alternatif.