Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Negara Brunei Darussalam mencatatkan satu kes import baharu jangkitan COVID-19 dan ia membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 243 orang.
Kes 243 ialah seorang lelaki berumur 42 tahun yang telah tiba ke Brunei dari Manila pada 19 Mei. Beliau tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan. Penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes baharu ini memandangkan beliau telah dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan diri mereka telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini bagi situasi jangkitan COVID-19 negara setakat jam 12 tengah hari, tidak ada kes jangkitan COVID-19 yang dilaporkan sembuh dan ini, mengekalkan jumlahnya kepada 231 orang dengan sembilan kes aktif sedang dirawat.
Kesemua kes aktif yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan berada dalam keadaan yang baik.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei 2020 iaitu 390 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 102 kes.
Jumlah mereka yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori ialah seramai 693 orang dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 seramai 19,109 orang.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 458 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 129,227 ujian.
Dalam pada itu, jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama dan kedua telah pun mencatatkan 12.7 peratus penduduk negara ini setakat 29 Mei 2021, dengan 52,775 orang telah menerima suntikan vaksin. Daripada jumlah itu, seramai 36,613 orang di Daerah Brunei dan Muara, 6,767 di Daerah Belait, 6,301 di Daerah Tutong dan 3,094 di Daerah Temburong.
Bagi orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, BruHealth.