Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Negara Brunei Darussalam hari ini mengesan satu kes import baharu setakat jam 12 tengah hari, menjadikan kes jangkitan COVID-19 kepada seramai 207 orang.
Kes ke-207 merupakan seorang wanita berusia 31 tahun yang tiba ke negara ini dari United Kingdom pada 14 Mac lalu. Pengesanan kontak telah mengenal pasti tiga orang kontak terdekat bagi kes tersebut namun ujian awal menunjukkan mereka negatif COVID-19.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan tiada kes sembuh, menjadikan kes yang aktif 12 semuanya. Kes-kes ini sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan dalam keadaan yang baik.
Negara Brunei Darussalam mencatatkan jangkitan tempatan terakhir pada 6 Mei 2020 (326 hari yang lalu) dengan jumlah kes import sejak itu ialah sebanyak 66 kes.
Sejumlah 597 orang lagi sedang menjalani pengasingan diri mandatori manakala seramai 15,613 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 315 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2, membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 ialah sebanyak 113,535 ujian.