Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan satu kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada seramai 187 orang.
Kes 187 ialah seorang lelaki berumur 20 tahun yang tiba ke negara ini dari United Kingdom pada 14 Februari 2021 dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI004.
Pengesanan kontak telah mendapati tidak ada kontak terdekat bagi kes tersebut memandangkan beliau telah dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini.
Menurut Kementerian Kesihatan melalui sidang media situasi terkini COVID-19 di sini, keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan diri beliau telah mengikut SOP yang sedia ada.
Pada masa ini, kes berkenaan sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana ketiga-tiga kes aktif yang berada di pusat berkenaan adalah dalam keadaan yang baik.Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (299 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 46 kes.
Jelas kenyataan itu lagi, sejumlah 602 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 13,925 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020. Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 511 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 102,743 ujian.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.
