MANILA, 31 DIS – Seorang anggota kru kapal kargo yang berdaftar di Filipina dilaporkan lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas kapal tersebut tenggelam di luar pantai wilayah Samar Utara, kata Pengawal Pantai Filipina (PSG) hari ini.
Perantis pelaut, John Limuel Ballesta dari stesen PSG Samar Utara memberitahu Xinhua dalam temu bual melalui telefon bahawa kapal MV Jerlyn Khatness, yang membawa 15 anggota kru, tenggelam di perairan berhampiran bandar Lavezares kelmarin.
Beliau berkata kapal yang membawa simen itu berlepas dari Bandar Naga di wilayah Cebu dan sedang dalam perjalanan ke San Jose, Samar Utara, apabila dilanda ‘ombak besar’ dalam ‘keadaan air yang bergelora’.
Ballesta menambah, 13 anggota kru telah diselamatkan. Operasi mencari dan menyelamatkan masih diteruskan untuk mencari kru yang hilang. – Xinhua