1 maut, 100,000 dipindahkan taufan hampiri Filipina

MANILA, 19 APRIL – Taufan kuat yang menghampiri timur dan tengah Filipina meragut satu nyawa hari ini, seorang hilang dan membawa kepada pemindahan lebih 100,000 orang ke tempat selamat sebagai langkah berwaspada, meskipun taufan musim panas luar biasa itu mungkin tidak melanda daratan, kata pegawai hari ini.

Taufan Surigae berada kira-kira 500km ke timur bandar Infanta di wilayah Quezon pada petang ini dengan membawa angin kencang 195 kilometer sejam (kmsj) dan badai sehingga 240kmsj. Ia diramalkan bergerak perlahan ke barat daya kemudian menghala ke timur laut dari utara Filipina sekitar Khamis ini.

Pentadbir agensi cuaca kerajaan, Vicente Malano mengatakan kawasan bertekanan tinggi terbentang dari China ke Jepun menghalang taufan itu bertiup ke daratan.

Taufan yang membawa hujan lebat dan angin kencang bagaimanapun membanjiri sekurang-kurangnya 22 kampung dan mengakibatkan bekalan elektrik terputus di empat buah wilayah. Lebih 3,200 orang dan 43 buah feri serta kapal kargo terkandas di pelabuhan selepas pengawal pantai menggantung perjalanan laut ketika taufan itu menghampiri, menurut agensi tindak balas bencana dan pengawal pantai.

Seorang lelaki berusia 79 tahun maut di bandar St Bernard di wilayah selatan Leyte selepas dihempap pokok kelapa, kata pegawai pertahanan awam. Seorang lagi penduduk kampung di bandar San Jose di wilayah Utara Samar hilang selepas dia pergi ke pulau berhampiran menaiki motobot untuk menyelamatkan haiwan di ladangnya, katanya. – AP

Gambar serahan Balai Bomba San Policarpo menunjukkan seorang lelaki meredah banjir dibawa taufan Surigae di perbandaran San Policarpo, Timur Samar, Filipina kelmarin. Taufan yang menghampiri tengah dan timur Filipina mengorbankan seorang dan memindahkan lebih 100,000 orang sebagai langkah berwaspada. – AP