Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    1 maut, 17 cedera dalam kemalangan lombong arang batu di Poland

    WARSAW, 12 JULAI – Salah seorang pelombong arang batu Poland yang cedera apabila gegaran melanda lombong arang batu Rydultowy kelmarin telah meninggal dunia di hospital, kata seorang pegawai perlombongan di selatan Poland. Sekurang-kurangnya 17 pelombong dilaporkan cedera dalam kemalangan itu.

    Gegaran tersebut berlaku jauh di bawah tanah ketika gempa bumi direkodkan di bahagian Poland tetapi tidak jelas sama ada kedua-duanya mempunyai kaitan.

    Ketua Kumpulan Perlombongan Arang Poland, Leszek Pietraszek, berkata pelombong itu meninggal dunia lewat kelmarin tetapi tidak memberikan butiran lain.

    Pencarian untuk seorang pelombong yang hilang telah dihentikan kerana risiko tinggi berlakunya gegaran lagi, kata ketua Pejabat Tinggi Perlombongan, Piotr Litwa.

    Seramai 77 pelombong dibawa naik ke permukaan, termasuk 17 yang dimasukkan ke hospital sejurus selepas gempa itu. Salah seorang daripada mereka yang mengalami kecederaan di kepala, telah dihantar ke hospital utama di bandar Katowice, kata pegawai.

    Penyelamat membawa pelombong yang cedera ke dalam helikopter berhampiran lombong arang batu Rydultowy berhampiran bandar Rybnik, di selatan Poland pada 11 Julai. – AP

    Beberapa yang cedera kemudiannya dibenarkan keluar dari hospital.

    Laporan sebelum ini berkata dua pelombong masih tidak diketahui dan 76 telah dibawa ke permukaan.

    Sebanyak 20 pasukan khusus mengambil bahagian dalam operasi menyelamat dalam keadaan sukar di bawah tanah ketika gegaran melanda kira-kira 1,200 meter di bawah permukaan. Kesan serta-merta di dalam lombong tidak jelas.

    Jurucakap kumpulan perlombongan, Aleksandra Wysocka-Siembiga berkata, kemalangan itu berlaku pada 8:16 pagi. Pusat Seismologi Euro-Mediterranean mencatatkan gempa bumi berukuran 3.1 magnitud di selatan Poland berhampiran lombong Rydultowy ketika itu.

    Pegawai pada mulanya berkata bahawa 68 pelombong berada di kawasan itu pada masa itu, tetapi kemudiannya menaikkan jumlah itu kepada 78. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda