BANGKOK, 2 OGOS – Sebuah feri karam di luar pantai Koh Samui, Thailand, mengakibatkan seorang maut dan empat lagi hilang, kata para pegawai hari ini.
Feri tersebut membawa 12 anggota kru dan empat penumpang apabila ia karam semasa cuaca ribut malam kelmarin selepas meninggalkan pelabuhan Koh Samui, menurut kenyataan dalam laman Facebook Jabatan Hal Ehwal Awam Surat Thani.
Sembilan orang telah diselamatkan dekat kapal karam oleh pekerja penyelamat. Dua lagi beberapa jam kemudian dekat pulau tiada berpenghuni.
Seorang ditemui maut manakala empat lagi hilang, menurut kenyataan itu.
Patchara Thiparat, salah seorang daripada dua yang ditemui dekat pulau kosong itu, berkata apabila semua orang dalam feri itu mula menyedari apa yang berlaku, mereka memakai jaket keselamatan.
Namun dia terpisah daripada kumpulan lain kerana dia berada di sisi lain bot ketika ia tenggelam.
“Arus air sangat deras. Ia menghanyutkan saya jauh dari kapal itu sekelip mata. Kemudian saya melihat pulau dan cuba berenang ke arahnya,” kata Patchara.
Feri tersebut mengangkut barangan dan kenderaan dari Koh Samui,
sebuah pulau pelancongan terkenal di Teluk Thailand menuju ke tanah besar. – AP