MADURAI, 17 JAN – Seorang maut, berpuluh-puluh lagi belia lelaki cedera pada hari pertama pesta tradisional menjinakkan lembu di selatan India yang menurut aktivis berbahaya kepada manusia dan binatang.
Lelaki yang meninggal dunia, P. Murugan, 40, dipijak lembu semasa pesta itu berlangsung. “Mangsa cuba menangkap lembu, namun dia dipijak binatang itu sehingga mati,” kata pegawai polis tempatan.
Sukan tradisi itu amat popular di kawasan pedalaman Tamil Nadu di mana setiap tahun, beratus-ratus belia lelaki akan cuba mengawal tanduk haiwan cuba melepaskan diri itu, ketika penonton bersorak dalam acara yang diadakan di seluruh negeri.
Pada hari pembukaan festival semalam, lebih daripada 20 orang lelaki cedera di bandar Madurai ketika 600 lelaki bertarung dengan sebanyak mungkin lembu, kata pegawai kepada media tempatan.
Seorang penonton wanita juga cedera apabila lembu melanggarnya di pintu keluar acara itu, Press Trust of India melaporkan.
Imej-imej menunjukkan lelaki dalam pakaian berwarna-warni cuba mengawal tubuh lembu yang menggoyangkan tanduk panjangnya dan merengus dalam kemarahan.
Dahulu, pesaing pernah ditanduk sehingga mati. Mahkamah Tinggi India mengharamkan sukan itu dalam 2014 selepas rayuan oleh kumpulan hak asasi haiwan.
Walau bagaimanapun ia dimainkan semula dalam 2017 selepas protes besar-besaran yang mengakibatkan kerajaan Tamil Nadu campur tangan dan mengisytiharkan pesta menjinakkan lembu itu adalah sebahagian daripada budaya dan identiti negeri itu. – AFP
