VOORSCHOTEN, BELANDA, 4 APRIL – Sebuah kereta api penumpang berkelajuan tinggi Belanda merempuh peralatan pembinaan berat dan tergelincir berhampiran The Hague hari ini, mengorbankan seorang dan mencederakan 30, kata perkhidmatan kecemasan.
Kereta api itu dalam perjalanan dari Leiden ke The Hague melanggar kren di landasan berhampiran perkampungan Voorschoten sekitar jam 3:30 pagi.
Kekuatan rempuhan menyebabkan sebuah gerabak penumpang dua tingkat hadapan tercampak di padang rumput dan gerabak kedua di benteng tembok, manakala dua gerabak yang lain kekal di landasan, kata wartawan AFP di tempat kejadian. Tanda hangus yang teruk boleh dilihat pada satu gerabak, dan media Belanda melaporkan kebakaran telah berlaku selepas kemalangan itu.
“Kami mendengar bunyi dentuman dahulu kemudian bunyi yang lebih kuat,” kata penduduk tempatan Chris van Engelenburg, 36, kepada AFP.
Kereta api itu membawa kira-kira 50 orang ketika kemalangan, kata pihak berkuasa Belanda. Kereta api Belanda kerap menjalankan perkhidmatan pada waktu malam di laluan antara bandar utama. – AFP