Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    1 maut, tanah runtuh di pulau Itali

    CASAMICCIOLA TERME, ITALI, 27 NOV – Pasukan penyelamat Itali sedang mencari mangsa yang hilang di pulau selatan Ischia hari ini selepas tanah runtuh mengorbankan satu nyawa, ketika kerajaan tersebut menjadualkan mesyuarat tergempar.

    Tanah runtuh melanda pekan kecil Casamicciola Terme kelmarin, menenggelamkan sebuah rumah dan menghanyutkan kereta ke laut, kata media tempatan dan perkhidmatan kecemasan.

    Pasukan penyelamat telah menemui mayat seorang wanita berusia 31 tahun, menurut agensi berita Itali AGI, dengan media tempatan lain melaporkan bahawa 13 yang lain turut cedera dalam kejadian tersebut.

    Kira-kira belasan orang masih belum ditemui kelmarin, menurut Claudio Palomba, pengawas Naples, di sebahagian pulau itu.

    Tetapi beberapa orang sebelum ini yang dilaporkan hilang telah ditemui selamat, termasuk sebuah keluarga dengan anak kecil yang baharu lahir, katanya.

    Pemandangan rumah yang rosak selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di Casamicciola, di pulau Ischia di selatan Itali. – AP

    Perdana Menteri Giorgia Meloni menyatakan menerusi halaman Twitternya, beliau merasa simpati kepada mereka yang terjejas dan beliau telah mengadakan mesyuarat kabinet luar biasa hari ini untuk membincangkan mengenai bencana itu.

    “Kami khuatir mungkin ada mangsa lain, tetapi angka semasa setakat ini hanya seorang yang maut,” Luca Cari, jurucakap bomba, memberitahu AFP.

    Usaha menyelamat terjejas disebabkan hujan dan angin kencang, yang turut menangguhkan feri yang membawa bala bantuan dari tanah besar.

    Menteri Dalam Negeri Matteo Piantedosi sebelum ini memberi amaran bahawa ada orang yang terperangkap dalam lumpur, berkata ia adalah situasi yang sangat serius.

    Bagaimanapun, beliau menafikan kenyataan rakan sekerjanya timbalan perdana menteri. Matteo Salvini, dan menteri infrastruktur, bahawa lapan orang telah meninggal dunia, dan mengatakan ia belum disahkan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...