Wednesday, November 20, 2024
32.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 aktivis alam sekitar Kemboja dihukum penjara

    PHNOM PENH, 2 JULAI – Mahkamah Kemboja hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara antara enam hingga lapan tahun terhadap 10 aktivis alam sekitar atas tuduhan merancang melakukan jenayah dalam tindakan aktivisme mereka, tindakan keras undang-undang terbaharu ke atas pejuang alam sekitar di negara itu.

    Para aktivis dari Mother Nature, salah satu daripada beberapa kumpulan aktivis alam sekitar di Kemboja, menafikan tuduhan tersebut, yang menurut mereka bermotifkan politik.

    Pengarah operasi kumpulan hak asasi manusia LICADHO, Am Sam Ath, memberitahu AFP bahawa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara enam hingga lapan tahun terhadap aktivis berkenaan.

    Beliau berkata tiga daripada mereka – termasuk pengasas bersama Mother Nature, Alejandro Gonzalez-Davidson, seorang warga Sepanyol yang diusir dari Kemboja pada 2015 – dijatuhi hukuman lapan tahun kerana merancang menentang kerajaan dan menghina raja.

    Tujuh lagi dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan pakatan komplot yang tidak dinyatakan.

    Enam daripada defendan dijatuhi hukuman tanpa hadir, manakala empat yang hadir di mahkamah ditahan oleh polis di luar mahkamah dan dibawa pergi, menurut seorang wartawan AFP.

    Sebelum keputusan mahkamah, empat aktivis tersebut dan puluhan penyokong telah berarak ke mahkamah dalam satu perarakan pengebumian olok-olok, memakai pakaian putih, iaitu warna berkabung. – AFP

    Alejandro (tengah) ketika ditangkap di sebuah restoran di Phnom Penh pada 23 Februari 2015. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda