Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 alat timbangan tidak berdaftar, mansuh

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Daripada sebanyak 16 unit alat sukat dan timbang digunakan bagi tujuan perniagaan yang diperiksa oleh pegawai-pegawai bertugas, 10 daripadanya gagal mematuhi akta dan peraturan sukatan dan timbangan iaitu menggunakan alat timbangan yang belum berdaftar dan mansuh tempoh penggunaan.

    Pemilik-pemilik alat berkenaan telah dikeluarkan Notis Peringatan dan dikehendaki hadir ke Pejabat Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) dalam tempoh tiga hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu itu.

    Dapatan berkenaan adalah hasil daripada lawatan pemeriksaan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit SDT di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) yang menjalankan operasi penguatkuasaan ke atas gerai-gerai jualan perayaan (bermusim) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOFE, di sini, operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di dua lokasi iaitu di kawasan letak kereta berdepan dengan Muzium Alat Kebesaran Diraja dan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi cawangan Daerah Brunei dan Muara pada 17 Julai lalu serta kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bagi Daerah Tutong pada 20 Julai.

    Lawatan pemeriksaan mengejut itu merupakan tindakan rutin dalam memastikan sebarang penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan alat sukat dan timbang semasa operasi di salah satu lokasi. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi
    Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda