LUCKNOW, 17 NOV – Kebakaran di unit neonatal sebuah hospital di India telah meragut nyawa 10 anak damit baru lahir, menurut pihak berkuasa kelmarin, sementara 39 lagi berjaya diselamatkan daripada kebakaran yang dipercayai berpunca akibat kerosakan mesin oksigen.
Kebakaran bangunan sering berlaku di India disebabkan kekurangan peralatan pemadam kebakaran dan peraturan keselamatan yang tidak diendahkan.
Kebakaran itu berlaku sekitar pukul 10:30 malam Jumaat di Kolej Perubatan Maharani Lakshmibai di Jhansi, kira-kira 450 kilometer di selatan ibu kota New Delhi.
Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan katil dan dinding yang hangus di dalam wad, manakala sekumpulan keluarga yang berduka menunggu di luar.
“Anak saya telah pergi untuk selama-lamanya,” rintih seorang ibu sambil memegang kepalanya dalam kesedihan.
Anak damit yang diselamatkan dari kebakaran, kesemuanya hanya berusia beberapa hari, telah dipindahkan ke unit baharu di dalam hospital di mana kakitangan sedang menjaga mereka.
“Seramai 10 anak damit telah meninggal dunia walaupun kami telah berusaha sebaik mungkin,” kata Dr Narendra Sengar, ketua kolej perubatan yang berkaitan dengan hospital tersebut, kepada AFP.
Sengar berkata, kesemua 39 anak damit lain di wad tersebut telah diselamatkan dan berada dalam keadaan sihat, bertentangan dengan laporan media awal yang mendakwa 16 daripadanya cedera parah.
Doktor dan kakitangan yang bertugas telah bergegas menyelamatkan anak damit tersebut “tanpa menghiraukan nyawa mereka sendiri,” katanya.
Ketua polis, Gyanendra Kumar Singh, berkata kebakaran itu mungkin bermula daripada sebuah mesin yang digunakan untuk meningkatkan tahap oksigen di atmosfera. – AFP