Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 artis Kelantan berpadu dalam dikir raya ‘Kelek Ghayo’

    Dalam memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini, pelakon dan penerbit Datuk Seri Shah Reza tampilkan kelainan dengan menghasilkan lagu raya berkonsep dikir barat.

    Lagu bertajuk Kelek Ghayo itu merupakan cover version lagu klasik Indonesia era 70an ciptaan Sam Bimbo dan nyanyian Julie Remie, yang diberi nafas baharu melalui sentuhan loghat Kelantan.

    Ia menampilkan 10 artis dari Kelantan termasuk Mathni Razak, Danny X Factor, Syed Aiman, Issey Fazlisham, Izzue Islam, Asrulfaizal, Syahir Shafein, Wanns Ahmad dan Shah Reza sendiri.

    Menurut Shah Reza, projek itu merupakan antara usahanya untuk menjenamakan Kelantan dalam industri seni selain mengetengahkan keunikan identiti dan budaya negeri Cik Siti Wan Kembang dalam lagu raya.

    “Konsep dikir barat dipilih kerana genre itu sering mengambil lagu-lagu lama dengan menyesuaikan liriknya. Lirik asal lagu ini diubah ke dalam loghat Kelantan dengan susunan muzik yang menampilkan elemen tradisional seperti gendang dan tepukan tangan,” katanya kepada Bernama.

    Dari segi video muzik, Shah Reza berkata jika kebanyakan lagu raya cenderung menampilkan latar kampung, beliau memilih konsep lebih moden dan berwarna-warni untuk menarik minat golongan muda dan kanak-kanak.

    “Saya nak cuba tarik perhatian anak muda. Kalau buat konsep kampung seperti biasa, mungkin ia tidak begitu menonjol. Jadi, saya ubah sedikit dengan sentuhan yang lebih segar dan dinamik,” katanya. – Bernama

    Seramai 10 artis Kelantan terlibat dalam lagu raya konsep dikir barat. – Danny X Factor
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda